Penswastaan Syarikat Air Johor
   Mengapa Dipertikaikan?

   Teks Ucapan Hassan Karim dalam Forum Rakyat pada 22 Ogos lalu di Johor
   Bahru.

   Pendahuluan

   Bekalan air di negeri Johor selama ini diselenggarakan oleh Bahagian Air
   di Jabatan Kerja Raya (JKR). Keadaan itu berterusan sehinggalah pada
   tahun 1988. Pada tahun 1989 Jabatan Bekalan Air (JBA) telah ditubuhkan.
   Kemudian pada 2 Februari 1994, JBA telah diperbadankan dan dinamakan
   Syarikat Air Johor, ringkasnya SAJ.

   Memperbadankan JBA kepada SAJ merupakan langkah pengkorporatan. Seperti
   yang dibimbangkan rakyat, pengkorporatan akan disusuli pula dengan
   penswastaan sepenuhnya. Inilah yang telah berlaku di Johor sekarang
   dalam hal pembekalan air.

   Kebimbangan utama rakyat dan pengguna ialah kadar atau tarif bayaran
   akan dinaikkan. Pada hari ini kadar bayaran bagi rumahtangga adalah
   seperti beriku:

   15 meter padu pertama                          30 sen semeter padu
   16 meter padu hingga 30 meter padu      70 sen semeter padu
   31 meter padu hingga 45 meter padu      95 sen semeter padu
   lebih 45 meter padu                                RM 1.15 semeter padu

   Langkah Ke arah Penswastaan SAJ

   Pada awal tahun 1997 kerajaan negeri Johor telah menerima cadangan
   penswastaan daripada syarikat Lambang Optima Sdn Bhd. (LOSB). Pada 19
   April 1999 Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Johor yang diketuai oleh
   Menteri Besar Datuk Abd Ghani Osman meluluskan secara muktamad akan
   terma dan syarat penswastaan itu.

   Menerusi penswastaan SAJ ini, LOSB akan memiliki 80% saham dalam SAJ
   Holding.
   Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) yang mewakili kepentingan kerajaan Johor
   mempunyai 15% saham. Manakala 5% bakinya akan dimiliki oleh kakitangan
   SAJ. Kerajaan negeri Johor akan memegang satu saham istimewa Golden
   share. Tempoh konsesi SAJ Holding ialah 30 tahun.

   Tiga alasan utama yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor mengapa LOSB
   dipilih ialah (i) LOSB mempunyai kepakaran; (ii) LOSB mempunyai
   pengalaman dalam bidang air dan (iii) kemampuan kewangan LOSB untuk
   melaksanakan penswastaan SAJ.

   Ketiga-tiga alasan ini boleh dipertikaikan. Pertama,LOSB tidak mempunyai
   kepakaran. LOSB adalah sebuah syarikat baru. Ia ditubuhkan pada 18 Julai
   1995. Semenjak ditubuhkan LOSB tidak berfungsi (dormant). Ahli pengarah
   LOSB terdiri daripada Dato Hamdan Bin Mohamad, Ahmad Zahdi Bin Jamil dan
   Mohd Hanif Bin Koslan.

   Kedua, LOSB juga tidak mempunyai pengalaman dalam bidang air. Untuk
   mengendalikan penswastaan air ini, LOSB telah membeli sebuah syarikat
   lain bernama Sempurna Pelita Sdn Bhd (SPSB). Syarikat ini kemudian
   dinamakan SAJ Holding. Apakah Sempurna Pelita Sdn Bhd ini ada pengalaman
   dalam kerja membekalkan air? Jawapannya tidak. Sempurna Pelita adalah
   sebuah syarikat yang tidak beroperasi. Syarikat ini mempunyai modal
   berbayar sebanyak RM 2.00 sahaja. Pengarah-pengarah asal Sempurna Pelita
   sebelum dibeli oleh LOSB ialah Yeoh Suan Phaik dan Teng Mee Leng.
   Pengambilan LOSB terhadap Sempurna Pelita ialah semata-mata untuk
   mempercepatkan penubuhan syarikat baru (SAJ Holding) bagi mengendalikan
   penswastaan bekalan air di Johor. Para pengguna air di negeri Johor akan
   dapat melihat pada bil air yang mereka terima setiap bulan tertera nama
   syarikat SAJ Holding dan dibawahnya disebut dalam bahasa Inggeris
   berbunyi, “Formely known as Sempurna Pelita Sdn Bhd).

   Ketiga, LOSB juga tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan
   penswastaan SAJ. LOSB yang ditubuhkan empat tahun lalu itu mempunyai
   syer yang dibenarkan sebanyak RM 500,000.00 (lima ratus ribu) dan syer
   yang diterbitkan secara tunai sebanyak RM 150,000.00 (seratus lima puluh
   ribu) sahaja. Ahli pengarahnya, Datuk Hamdan Bin Mohamad merupakan
   pemegang syer yang terbanyak iaitu 149,999 syer.

   Untuk mengambil alih SAJ, LOSB perlu membuat suntikan wang pendahuluan
   pemegang saham (share holders advance) sebanyak RM 545 juta atau membuat
   suntikan tunai (cash injection) sebanyak RM 65 juta.Adakah LOSB mampu?

   Kerja-kerja membekalkan air ke seluruh negeri Johor ini satu tugas yang
   besar. Ia melibatkan pembersihan dan agihan air secara menyeluruh kepada
   pengguna di seluruh Johor. Keperluan bekalan air di negeri Johor terus
   meningkat. Pada tahun 1995, 243 juta gelen sehari (JGH) diperlukan. Ia
   akan mencapai 583 JGH menjelang tahun 2020.

   Thames Water Menguasai SAJ

   Oleh kerana LOSB sebenarnya tidak mempunyai ketiga-tiga syarat yang
   disebutkan itu, maka akhirnya sebahagian besar saham SAJ Holding dijual
   kepada sebuah syarikat asing dari Britain yang bernama Thames Water.
   Datuk Abd Ghani Osman, Menteri Besar Johor telah mengaku pada 8 Jun 1999
   (lihat Utusan Malaysia 9 Jun 1999) bahawa Thames Water terlibat dalam
   merawat dan membekalkan air ke seluruh Johor.

   Daripada 80% saham milik LOSB dalam SAJ Holding,  49% telah dijual
   kepada Thames Water. Sementara 51% masih dipegang oleh LOSB. Ghani Osman
   mengulangi lagi hujahnya mengapa Thames Water terlibat dalam penswastaan
   SAJ. Menurut Ghani, pertama, kerana Thames Water mempunyai banyak
   pengalaman dalam bidang air seperti penglibatannya di Portugal, Chile,
   Indonesia, Turki, China dan Thailand. Tetapi Ghani Osman lupa Kerajaan
   PAS Kelantan telah membatalkan perjanjiannya dengan Thames Water kerana
   syarikat itu gagal membekalkan air yang sempurna di negeri Kelantan.

   Kedua, menurut Ghani, Thames Water mempunyai kedudukan kewangan yang
   kukuh. Dulu Ghani berkata LOSB mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
   Sebenarnya tidak begitu. Sebenarnya yang kukuh kedudukan kewangan ialah
   syarikat asing. Kerana syarikat asing ini banyak wang, maka Ghani
   membenarkan syarikat Inggeris itu memiliki kepentingan dalam bekalan
   sumber air di Johor melalui pintu belakang iaitu dengan menguasai 49%
   saham LOSB dalam SAJ Holding. Syarikat dari negara bekas penjajah kini
   datang kembali ke Johor untuk menguasai sumber air. Seratus dua ratus
   tahun lalu mereka datang untuk menguasai rempah ratus, bijih timah dan
   getah.

   Ketiga, Ghani berkata Thames Water mempunyai teknologi tinggi. Adakah
   mendapatkan bekalan air di negeri monsun (hujan sepanjang tahun) dan
   banyak sungai seperti di Johor ini memerlukan teknologi tinggi yang
   mesti dibawa dari Britain? Tidakkah sebelum ini Ghani berkata LOSB
   dipilih kerana syarikat tempatan ini mempunyai kepakaran? Ghani sudah
   lupa apa yang beliau cakapkan sebelum ini.

   Bagaimanapun isu yang utama perlu diketengahkan di sini ialah adakah
   Ghani Osman membawa perkara penglibatan Thames Water dalam penswataan
   SAJ ke Dewan Undangan Negeri Johor untuk dibincangkan. Adakah Dewan
   Undangan Negeri Johor yang mempunyai 40 Ahli Dewan semuanya dari Barisan
   Nasional ( tiada pembangkang) bersetuju bahawa 49% saham LOSB dijual
   kepada Thames Water (sebuah syarikat asing)?

   Tidakkah penguasaan 49% itu bermakna Thames Water memiliki 39.2%  dari
   keseluruhan saham SAJ Holding yang menguasai sumber pembekalan air di
   Johor? Tidakkah ini terlalu tinggi bagi sebuah syarikat asing menguasai
   sumber sepenting air itu? Tidakkah ini bermakna kerajaan Johor pimpinan
   Ghani Osman telah membenarkan sebuah syarikat asing menguasai saham
   melebihi paras 30% yang ditetapkan oleh Dasar Ekonomi Baru?

   Kalau Dewan Undangan Negeri ada membincangkan hal ini, kita ingin tahu
   bila masanya? Pada tarikh berapa haribulan? Adakah semua setuju? Berapa
   jam dibincang? Ada yang menentang? Ada catatan persidangan yang boleh
   dibaca oleh rakyat? Kenapa soal penglibatan Thames Water ini tidak
   diberitahu kepada umum, iaitu rakyat negeri Johor. Kenapa semacam ada
   rahsia. Seperti ada sesuatu yang hendak disembunyikan? Ghani Osman dan
   kerajaan Johor harus bersikap telus dalam soal penswastaan SAJ.

   Nota
   Senarai lengkap ahli penal bagi Forum Rakyat yang diadakan di Jalan
   Rebong, Johor Bahru, pada 22 Ogos 1999 jam 9.00 malam, anjuran Gagasan
   Demokrasi Rakyat Malaysia Peringkat Johor ialah

   Sdr Zulkifli Ahmad (PAS ­ membincangkan Pengkorporatan IPT)
   Sdr Ismail Hj Awab (KeADILan ­ membincangkan KPRJ)
   Sdr Norman Fernandez (DAP ­ Analisis terhadap isu penswastaan)
   Hj Saari Hj Sungib ( JIM ­ membincangkan Pengkorporatan Hospital)
   Dr Ibrahim Ngah (ABIM ­ Analisis terhadap isu penswastaan)
   Hassan Karim (PRM ­ membincangkan Penswastaan SAJ)
   Dato’ Zainal Abidin Zin ( Exco kerajaan Johor mewakili UMNO dan BN,
   tidak hadir)