Kepimpinan dan Barisan Alternatif
Rakyat Malaysia amat prihatin tentang betapa pentingnya peranan kepimpinan yang berwibawa lagi berakhlak dalam melaksanakan perubahan politik. Oleh kerana itu mereka menuntut supaya Barisan Alternatif menghuraikan bentuk kepimpinan yang akan dilahirkan di negara ini kelak.
Barisan Alternatif akan berusaha melahirkan suatu kepimpinan muafakat (collective leadership). Kepimpinan muafakat yang kami cita-citakan itu akan dibentuk terutamanya dari kalangan empat buah parti politik dalam Barisan Alternatif dan parti-parti lainnya, khususnya parti-parti di Sabah dan Sarawak yang mempunyai hubungan langsung maupun tidak langsung dengan Barisan Alternatif. Kepimpinan itu juga akan disertai oleh para individu yang tidak menganggotai sebarang parti politik – yakni tokoh-tokoh dari kalangan akademia, ikhtisas, perkhidmatan awam, badan-badan keagamaan, sektor perniagaan, sektor buruh dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) – yang mampu memberikan sumbangan berkesan terhadap usaha membentuk pemerintahan perpaduan nasional serta membina masyarakat Malaysia yang adil.
Antara sifat-sifat asasi yang menjadi tunggak pembentukan kepimpinan muafakat ini adalah integriti, bakat dan dedikasi -- di samping ilmu dan wawasan. Kepimpinan itu akan merupakan kepimpinan yang benar-benar bersifat kebangsaan, menggemblengkan unsur-unsur dari pelbagai negeri dalam Persekutuan Malaysia. Kepimpinan muafakat ini akan benar-benar bersifat pelbagai etnik, baik dari segi komposisnya maupun orientasinya, meskipun oleh sebab sejarah terasnya bersifat Melayu.
Suatu kepimpinan muafakat juga akan memancarkan nilai-nilai asasi sebuah pemerintahan demokrasi. Dalam sebuah sistem demokrasi yang tulen, kuasa dikongsi bersama dan kewibawaan berpunca daripada restu rakyat. Hanya sebuah kepimpinan yang bergerak atas lunas musyawarah dan muafakat akan benar-benar memancarkan semangat pemerintahan demokrasi yang tulen. Oleh yang demikian, dalam rangka pemerintahan demokrasi, bentuk kepimpinan yang wajar adalah kepimpinan muafakat – bukannya kepimpinan oleh seorang ketua yang dominan atau berkuasa penuh.
Dalam rangka mewujudkan kepimpinan muafakat dan demokratis inilah Barisan Alternatif bersetuju mengemukakan nama Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk jawatan Perdana Menteri. Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja mempunyai sifat-sifat istimewa sebagai pemimpin tetapi juga mempunyai pengalaman yang luas dalam kerajaan kerana pernah memegang pelbagai jawatan kabinet dalam jangka waktu lebih satu dasawarsa. Selain itu, beliau telah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1993 hingga 1998, malah pernah menjadi pemangku Perdana Menteri untuk beberapa ketika.
Barisan Alternatif menyedari bahawa sekiranya kami memenangi Pilihanraya Umum nanti, Sdr Anwar tidak akan dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri dengan serta merta, memandangkan hukuman penjara enam tahun yang telah dikenakan terhadap beliau mulai April 1999. Kami mempertahankan kedaulatan undang-undang dan membela kemurnian proses kehakiman, dan oleh itu Barisan Alternatif akan berusaha untuk memastikan bahawa Sdr Anwar akan dapat menikmati keadilan yang sebenarnya. Demi menegakkan keadilan dan kebenaran, suatu penyiasatan kehakiman (judicial inquiry) akan diadadakan yang bertujuan menyiasat konspirasi politik yang mengakibatan kepenjaraan Anwar. Setelah keadilan terlaksana nanti, barulah beliau diberi peluang untuk memimpin negara ini – Insha Allah.
Sebagai langkah segera, Barisan Alternatif – jika mendapat mandat dan kepercayaan rakyat negara ini – berdasarkan peruntukan Perlembagaan Malaysia, dalam peralihan akan menyokong sebagai Perdana Menteri barang siapa dari kalangan Parti-parti Alternatif yang mendapat kepercayaan daripada majoriti para anggota Dewan Rakyat. Perdana Menteri sementara itu akan merintis jalan menuju terbentuknya sebuah kepimpinan muafakat yang demokratis dan beriltizam menegakkan keadilan bagi semua rakyat Malaysia.
PARTI ISLAM SEMALAYSIA PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK (PAS) (DAP)
PARTI RAKYAT MALAYSIA PARTI KEADILAN NASIONAL
(PRM) (keADILan)
20 September 1999
--------------------------------------------------------------------------------