Memperingati Setahun Anwar Ibrahim Ditahan   Show brief headers | Show all headers
 From:  Hassan Karim <hakarim@pc.jaring.my>    Add to Address Book
 Date:  September 14, 1999 1:20:07 AM EDT
 To:  Berita Harian <bharian@nstp.com.my>    Add to Address Book
 To:  Detik <detik_malaysia@hotmail.com>    Add to Address Book
 To:  Eksklusif <info_eksklusif@karangkraf.com.my>    Add to Address Book
 To:  Forum Rakyat <forum-rakyat@egroups.com>    Add to Address Book
 To:  Harakah <hrkh@pc.jaring.my>    Add to Address Book
 To:  Majalah Detik <detik_malaysia@yahoo.com>    Add to Address Book
 To:  Star <editor@thestar.com.my>    Add to Address Book
 To:  The Sun <letters@sunmg.po.my>    Add to Address Book
 To:  Utusan Malaysia <online@utusan.com.my>    Add to Address Book
 To:  Warta KL <wartaKL@yahoo.com>    Add to Address Book
 CC:

MEMPERINGATI SETAHUN ANWAR IBRAHIM DITAHAN

Oleh Hassan Karim

PENDAHULUAN

Pada 2 hb September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Beliau kemudiannya juga dipecat dari jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Saya, dan beberapa orang ahli Jawatankuasa Pemuda PRM bertemu di Johor Bahru beberapa hari selepas Anwar dipecat dan kami kemudian mengambil keputusan untuk membuat kunjungan menemui bekas Timbalan Perdana Menteri itu di rumahnya. Saya memimpin delegasi Pemuda PRM. Turut sama ialah Sdr Abd Rahim Ishak, Sdr Mohd Salleh Hj Ahmad, Sdr Syed Shahir Mohamad danbeberapa orang lagi ahli Jawatankuasa Pemuda PRM. Itulah kali pertama saya sampai ke rumah Anwar yang terletak di Bukit Damansara.

1. MENGUNJUNGI ANWAR

Ketika kami sampai petang itu, kelihatan ramai orang berada di rumah bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Ada yang sedang menonton video di tv yang menayangkan ucapan reformasi oleh Sdr Anwar. Tujuan kunjungi kami ialah untuk menemui Anwar. Tapi dia tidak kelihatan. Kami diberitahu Anwar ada di rumahnya itu.

Kami tidak ada temujanji atau appointment. Tapi ini bukan lawatan pejabatnya. Saya ternampak Sdr Roslan Kassim. Saya segera menemuinya dan memberitahu hajat kami untuk bertemu dengan Sdr Anwar Ibrahim, sekejap pun jadilah. Sdr Roslan berjanji dia akan usahakan. Tidak lama kemudian Roslan datang kepada kami dan memberitahu bahawa Anwar akan turun untuk solat Asar berjemaah bersama orang ramai di ruang tamu rumahnya itu. Selepas itu pertemuan ringkas antara kami dengannya akan diadakan.

Selepas selesai berjemaah solat Asar maka petugas-petugas khas memberi isyarat supaya kami bersedia. Ramai orang datang hendak bertemu dengan Anwar. Jadi masing-masing kena mengikut giliran. Semasa menunggu sebentar di ruang agak sempit yang memisahkan ruang tamu dengan bilik dapur, saya ternampak isteri Anwar, Datin Sri Dr Wan Azizah turun dari
tingkat atas. Beliau menuju ke arah dapurnya. Datin Seri memberi salam kepada kami dan mengucapkan terima kasih atas kunjungan kami. Itu kali pertama saya menemuinya secara berdepan. Kak Wan mungkin pada petang itu tidak kenal siapa kami pemuda-pemuda yang datang itu. Pengawal-pengawal keselamatan yang mengawal Anwar sentiasa waspada. Hanya tiga orang sahaja dari rombongan kami yang dibenarkan masuk. Tetapi saya desak tambah seorang lagi. Akhirnya kami berempat dibenarkan masuk. Kami tidak perlu menunggu lama. Pemuda PRM diberi keistimewaan.

2. MENJALINI HUBUNGAN PERSAHABATAN

Hampir dua tahun sebelum itu, Pemuda PRM yang saya pimpin dan Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Zahid Hamidi, kami bertegang leher dan berbalah dari segi pendirian politik dalam isu Persidangan Antarabangsa Kedua Mengenai Timor Timur di Kuala Lumpur pada bulan November 1996 (APCET II) yang penuh kontroversi itu. (Sdr Ahmad Zahid
Hamidi dan saya sebenarnya teman sezaman, sekampus, segelanggang semasa di Universiti Malaya dulu). Tetapi pendirian politik memisahkan dua orang bersahabat baik ini. Sekarang kami sudah bersahabat semula dengan tokoh-tokoh Pemuda UMNO seperti Sdr Saifuddin Nasustion, Roslan Kassim dan Lokman Noor Adam. Tetapi kini semuanya sudah dipecat dari UMNO. Mereka kini memimpin Parti Keadilan Nasional.

3. MEMAHAMI REFORMASI

Delegasi Pemuda PRM segera diberi laluan untuk menemui Anwar. Pertemuan itu diadakan di tingkat bawah di sebuah bilik. Saya rasa mungkin bilik anak Anwar. Kecil bilik itu. Kami berempat, iaitu Sdr Mohd Salleh Hj Ahmad, Timbalan Ketua Pemuda PRM, Sdr Syed Shahir Mohamad, Pengerusi Tetap Pemuda PRM, Sdr Adnan Khamis, Ahli Jawatankuasa dan saya sendiri selaku Ketua Pemuda PRM waktu itu. Kami berjabat salam dengan Anwar.

Pertemuan itu sangat bermakna. Sebaik saja kami duduk bersila di atas lantai (Anwar juga bersila) saya menyampaikan salam dari pimpinan PRM Pusat dan Pemuda PRM. Saya nyatakan rasa sedih kami akan pemecatan ke atas Anwar. Saya masih ingat, kemudian saya bertanya kepada Anwar tentang gerakan reformasi yang diutarakan olehnya. Kami bertanya apa
makna reformasi yang beliau maksudkan. Kami senang hati dengan jawapan yang diberikan. Anwar sependapat seperti kami bahawa Malaysia memerlukan reformasi di segi politik, ekonomi dan juga sosial. Kemudian kami sempat bertanyakan apa maksud konspirasi politik yang Anwar sebutkan. Saya masih ingat Anwar berkata, bahawa ada beberapa kerat pemimpin tertinggi kerajaan dan tokoh-tokoh korporat yang mahu merompak kekayaan negara. Dengan empat laporan polis baru-baru ini yang dibuat oleh Anwar tentang kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Abd Rahim Thamby Chik, maka fahamlah saya apa yang Anwar maksudkan dulu.

4. SIAPA KEPALA KONSPIRASI?

Saya sempat juga bertanya kepada Anwar siapa kepala konspirasi itu. Anwar berkata, masanya belum sampai untuk dia menjelaskan. Malu pula rasanya saya pada waktu itu bertanya terlalu banyak kepada Anwar. Tetapi saya nakal juga petang itu. Jiwa anti- feudal dalam diri saya agak kuat juga. Saya berbahasa kepada Anwar dengan memanggilnya “Saudara”. Tidak
menggunakan panggilan “Datuk Seri”. Saya benar-benar menganggapnya saudara. “Adakah Mahathir kepala konspirasi?” tanya saya. Anwar tersenyum saja melihat saya terlalu mendesak ingin tahu. Tenang sungguh manusia Anwar ini, fikir saya pada waktu itu. Tetapi Anwar berkata, dia tidak mahu pada ketika itu menyatakan terus terang tentang peranan Mahathir kerana tidak mahu dilihat masalah yang dihadapinya kelihatan terlalu personal. Sikap Anwar terhadap Mahathir sungguh berhemah. Tetapi Mahathir bersikap sebaliknya.

5. SOKONGAN UNTUK ANWAR

Dalam pertemuan dengan Anwar itu, kami ada menyatakan bahawa Pemuda PRM tidak mempunyai kekuatan yang besar. Tetapi kami ikhlas. Kami nyatakan berterus terang bahawa kami bersedia bersama-sama Sdr Anwar untuk memperjuangkan keadilan dan menggerakkan reformasi yang tulen. Kami sering menyebutkan kalimah reformasi tulen untuk menegaskan bahawa
Pemuda PRM tidak berminat dengan reformasi yang trendy yang tidak ada asas yang konkrit. Kami mahu perubahan sebenar yang bermakna.

Anwar kelihatan menghargai kunjungan kami dan mengalu-alukan pernyataan sokongan Pemuda PRM yang sanggup bersama dalam gerakan reformasi itu. Kemudian dia bertanya kepada kami tentang bagaimana keadaan di luar. Untuk beberapa hari selepas dipecat, Anwar hanya berkurung di rumahnya saja. Dia belum lagi keluar menjelajah ke seluruh negara menerusi “road
show”nya. Kami terus terang memberitah pandangan kami kepada Anwar. “Saudara elok turun ke bawah, turun menemui rakyat. Rakyat mahu tahu agenda perjuangan saudara seterusnya. Saudara berkata tentang reformasi dan konspirasi. Saudara perlu jelaskan itu semua kepada rakyat. Jelaskan kandungan atau intipati falsafah reformasi itu. Begitu juga dengan
dakwaan wujudnya konspirasi itu.”

Anwar memberitahu memang dia ada cadangan untuk turun menemui rakyat. Dia mahu Ke kawasannya dulu di Permatang Pauh. Tetapi ada beberapa perkara yang perlu diurusi terlebih dahulu maka hingga pada hari kami berkunjung ke rumahnya, Anwar masih belum dapat turun ke bawah menemui rakyat.

6. BOLEHKAN PERJUANGAN REFORMASI BERTAHAN LAMA?

Tanpa diminta, kami sempat menyatakan rasa kebimbangan. Kami bimbang adakah sokongan rakyat terhadap Anwar dapat dipertahankan. Kami bimbang takut-takut semangat reformasi yang berkobar-kobar itu hanya hangat-hangat tahi ayam; sekejap saja; lepas itu sepi dan sejuk. Nampaknya Anwar petang itu berkongsi dengan kebimbangan kami dari Pemuda
PRM. Lawatan ke seluruh negara bertemu rakyat itu penting, kami menegaskan. Anwar senyum mengangguk. Agaknya hati dia berkata kami ini macam hendak mengajar itik berenang. Kemudian kami pun meninggalkannya. Kami berjabat salam sebelum pulang. Beberapa hari sebelum kunjungan kami itu Anwar berada di pihak pemerintah, manakala kami pula Pemuda PRM di
barisan pembangkang. Tetapi situasi politik sudah berubah sekarang.

Semasa kami meningalkan rumah Anwar itu saya sempat membeli beberapa kaset ucapannya untuk di bawa pulang ke Johor. Dalam perjalanan pulang ke pejabat PRM di Petaling Jaya, kami sempat berbincang di dalam kereta tentang sejauh mana sokongan rakyat terhadap Anwar dapat bertahan. Kami bimbangkan takut-takut sokongan itu cepat sejuk dan pudar. Tetapi
sekarang, selepas setahun, ternyata kebimbangan kami itu tidak tepat. Sokongan rakyat terhadap Anwar bukan sahaja dapat bertahan tetapi semakin besar dan meluas.

Gerakan reformasi yang Anwar pelopori disambut rakyat seluruh negara. Parti Keadilan Nasional secara berorganisasi dapat ditubuhkan dan sedang meneruskan perjuangan secara legal dan tersusun dalam kerangka politik negara ini. Parti-parti pembangkang yang lain seperti PAS, PRM dan DAP telah dapat menjalin persefahaman dan persepakatan untuk membentuk satu Barisan Alternatif bagi memperjuangkan keadilan dan perubahan di Malaysia. Tiba-tiba isu keadilan begitu menonjol dalam pentas politik di negara kita. Badan-badan bertindak bersama seperti Majlis Pergerakan Keadilan Rakyat Malaysia(GERAK) dan Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan) dibentuk untuk sama-sama mengembelingkan tenaga. Para pelajar pula
segera menubuhkan pelbagai fron mereka.

7. ANWAR TURUN MENEMUI RAKYAT

Ternyata Anwar Ibrahim seorang ahi politik yang mempunyai karisma dan kebijaksanaan. Dia segera turun ke bawah menemui rakyat. Tempat pertama yang dilawatinya tepat sekali iaitu di Permatang Pauh, kawasan parlimennya dan tempat terletak kampungnya, Ceruk Tuk Kun. Dia telah diberi sambutan hangat. Berpuluh ribu umat manusia berhimpun untuk melihat dan mendengar amanat Anwar. Di Permatang Pauh Anwar telah mengumumkan satu perisytiharan yang dikenali sebagai Perisytiharan Permatang Pauh. Dalam perisytiharan itu Anwar menghuraikan tuntutan reformasi yang diperjuangkannya. Sejak terbitnya perisytiharan itu rakyat di seluruh negara mulai dapat memahami dengan jelas apa yang dimaskudkan reformasi itu. Ada yang sinikal tetapi ramai yang menerima dengan sikap positif.

Kemudian bermulalah “road show” Anwar di seluruh negara. Tidak seperti  “road show” Mahathir yang diuruskan oleh kerajaan negeri, dengan segala agensi kerajaan dikerah untuk mempastikan kehadiran orang ramai. Sesetengahnya diupah untuk ke perhimpunan bersama Mahathir. Sesetengahnya diugut supaya datang. Tetapi perhimpunan Anwar dihadiri
berpuluh ribu manusia yang datang dengan sukarela secara sepontan. Rakyat mengejar dan mencari di manakah perhimpunan Anwar diadakan. Mereka datang dengan berkenderaan sendiri. Dari dekat dan jauh. Rakyat datang dengan semangat dengan rela dan usaha sendiri. Mereka memberanikan diri walaupun ada sekatan jalan oleh pihak Polis. Perhimpunan yang diadakan untuk mendengar amanat Anwar benar-benar mencemaskan Mahathir dan BN. Sebab sambutan rakyat begitu besar.

Anwar berucap di Pulau Pinang, di Kedah, di Melaka, di Johor, di Trengganu dan di Kelantan.Tetapi akhirnya sampailah masa untuk diadakan satu perhimpuan reformasi besar-besaran di Ibu negara Kuala Lumpur iaitu pada hari Ahad 20 September 1998. Suasana di Kuala Lumpur pada minggu itu memang meriah dan menarik kerana Sukan Komenwel kebetulan sedang berlangsung di ibu negara itu. Diberitahu melalui sebaran mulut, kertas-kertas kecil dan internet bahawa perhimpunan itu diadakan pada pukul 4.00 petang di Dataran Merdeka.

8. PERHIMPUNAN RAKSAKSA DI IBU NEGARA

Kebetulan pada hari Ahad 20 September itu kami ada mesyuarat Jawatankuasa Pusat PRM di Markas PRM Petaling Jaya. Sebaik saja selepas mesyuarat pukul 3.30 petang itu, kami pun berlepas dengan kereta ke Kuala Lumpur. Kami menuju ke Dataran Merdeka. Kami berpusing-pusing mencari tempat letak kereta. Tetapi kami lihat tidak ramai orang di Dataran Merdeka. Sebaliknya yang ramai ialah pasukan polis FRU. Kami ingat perhimpunan itu tak jadi. Mungkin penganjurnya atau orang ramai takut hendak berhimpun. Rupa-rupanya sangkaan kami itu meleset. Manusia tidak mudah digertak dan ditakut-takutkan dengan Polis mempamerkan kekuatan.

Kami diberitahu kemudian bahawa tempat berhimpun telah ditukar. Perhimpunan akan diadakan di Mesjid Negara. Kami kemudian meletakkan kereta di Jalan Young. Kemudian kami berjalan masuk ke Mesjid Negara. Kami membawa bersama pada petang itu SUARA iaitu akhbar terbitan PRM yang baru saja keluar dari percetakan., “masih panas”. Muka depannya pun tentang isu pemecatan Anwar Ibrahim dan tuntutan reformasi. Sungguh relevan. Kami membuat keputusan untuk menjual SUARA di pintu masuk ke Mesjid Negara itu.

Saya memang ada pengalaman sedikit sebanyak menjual akhbar SUARA di khalayak ramai. Tetapi tak pernah kami mendapat sambutan sedemikian rupa seperti pada petang itu. Dengan sedikit teknik menjual di pasar malam, kami menaikkan sedikit suara untuk mempromosikan akhbar PRM itu. Kami kemudian didatangi pembeli tak putus-putus. Dalam sedikit masa sahaja
habis semua stok SUARA yang sebenarnya kami bawa dalam bonet kereta untuk tujuan asalnya dibawa pulang ke Johor Bahru dan Kota Bahru, Kelantan. Sdr Abdullah Hamid dari Kelantan manakala Sdr Abd Razak Ahmad, Sdr Mohd Salleh, Sdr Vincent De’Silva dan saya sendiri dari Johor. Kami akan pulang ke negeri masing-masing petang itu.

9. GELOMBANG KEBANGKITAN RAKYAT BERMULA

Kemudian saya menyaksikan apa yang berlaku di perkarangan Mesjid Negara itu. Pertama saya dapat bertemu ramai sahabat-sahabat lama. Antaranya tentu sekali sahabat baik saya Sdr Hishamuddin Rais. Dia membawa kamera bersamanya. Hisham datang bersama beberapa temannya. Ramai kawan –kawan lain semasa zaman kami mahasiswa dulu kelihatan ada bersama. Masing-masing sudah berumur. Sesetengahnya rambut di kepala sudah putih.

Tetapi amat mengkagumkan. Manusia datang dari segenap penjuru. Mereka masuk ke Mesjid Negara dengan berpusu-pusu. Semua merasa selamat sebaik saja melangkah kaki ke kawasan mesjid bersejarah itu. Dari tepi pagar Mesjid Negara, saya melihat ke arah Dataran Merdeka. Barisan manusia datang ke arah kami seperti air pasang. Mereka melangkah pantas untuk ke Mesjid Negara. Begitu juga yang datang dari arah Jalan Young, kebanyakannya bermotorsikal dan berkereta. Dari arah Dayabumi, dari Jalan Lebuh Pasar dari arah Setesen Keretapi dan dari arah Pusat Islam, manusia semuanya menumpu ke Mesjid Negara.

Akhirnya kami dari PRM tidak ada masa untuk memerhatikan orang saja. Kami pun bergerak menghampiri ke satu sudut menghadap anjung di mana kami yakin Anwar akan muncul di situ untuk berucap.

Kami mempunyai tanggungjawab sampingan. Bersama kami di perkarangan Mesjid Negara itu ialah Sdr Abd Razak Ahmad, Timbalan Presiden PRM. Dia tidak berapa sihat pada hari itu. Sdr Razak mengalamai sedikit masalah tulang belakangnya. Dia tidak boleh bergerak pantas. Kalau berjalan dia seperti mengheret sedikit kakinya. Kasihan Sdr Razak, saya berkata dalam
hati.Tetapi Razak begitu ingin untuk menyaksikan sendiri apa yang disebut-sebut orang sebelum ini tentang perhimpunan reformasi. Dia mahu lihat dan sertai sekali. Orang terlalu ramai, dan kami takut Timbalan Presiden PRM itu dirempuh. Manalah tahu. Kami kena jaga keselamatan pemimpin kami. Saya yang agak kenal Razak sejak muda, rasa terharu apabila melihat Razak yang mulai uzur itu masih sanggup datang sama mendengar pidato Anwar dalam perhimpunan itu. Sepuluh dua puluh tahun lalu Razak sihat, kacak, tampan, cegas dan muda. Hebat macam Anwar Ibrahim sekarang. Masa telah berlalu, dan Razak kini sudah menjadi seorang datuk kerana sudah punya cucu. Penyakit pun mulailah bertandang datang. Tetapi itu fitrah hidup. Yang istimewanya perjuangan Razak Ahmad yang tetap tabah itu. Orang macam Razak Ahmad ini tidak ramai. Begitu
juga halnya pemimpin yang tabah seperti Anwar Ibrahim.

10. ANWAR PEMIMPIN YANG TABAH

Walaupun Anwar Ibrahim untuk sekian belas tahunnya berada di pihak kerajaan tetapi kami dapat jelas melihat Anwar banyak membawa agenda pembangunan untuk rakyat bawahan, manusia-manusia kecil yang miskin dan tertindas. Jadi kami di dalam PRM ada rasa hormat kepadanya. Lebih-lebih lagi kerana Anwar pernah ditahan di bawah ISA dalam isu rakyat Baling
selama dua tahun. Di Penjara Kemunting Taiping itu Anwar tinggal sebilik bersama ramai kawan-kawan kami, termasuklah Presiden PRM, Dr Syed Husin Ali. Ini menjadikan kami juga sayangkan Anwar, biarpun kemudian dia menjadi pemimpin UMNO.

Pebezaan politik antara kami di dalam PRM dengan Anwar di dalam UMNO, BN dan Kerajaan waktu itu tidaklah sampai membutakan mata kami sehingga tidak dapat melihat jasa-jasa Anwar kepada rakyat dan negara. Jadi apabila beliau diperlakukan secara tidak adil, maka hati kami segera tergerak untuk membelanya.

Kembali apa yang berlaku di Mesjid Negara pada petang 20 hb September itu. Kelihatanlah di atas anjung Mesjid Negara itu yang menghadap ke Pusat Islam, tokoh-tokoh penting reformasi seperti Sdr Malik Husin dan Roslan Kassim muncul. Tak lama kemudian Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah pun sampai. Maka bermulalah pidato Anwar yang hebat pada
petang itu. Memang Anwar pemidato yang sukar ditandingi. Saya sudah tahu itu sejak lama. Tidak menghairankan.Tetapi saya datang pada petang itu mahu mendengar ucapan Anwar dengan teliti. Saya sudah dewasa. Saya tidak berminat pada retorik-retorik. Saya mahu dengar isi dan intipati perjuangan yang Anwar ingin bawa. Ucapannya baik sekali. Bukan saja
bersemangat tetapi berisi.. Dengan mudah Anwar berjaya menjelaskan apa maksud gerakan reformasi yang dianjurkannya.

Pada petang itu, saya lihat Anwar sudah tidak teragak-agak lagi untuk mengkritik Mahathir secara langsung dan menuntut Mahathir berundur.Maka jeritan “undur Mahathir undur” pun bersahut-sahutan.

11. PERJUANGAN RAKYAT YANG BERSAMBUNG

24 tahun yang lalu, semasa saya masih mahasiswa Anwar ini juga menjadi tokoh pemimpin pelajar dan belia yang menggegarkan negara dengan perjuangan kami bersama, iaitu pelajar dan intelektual untuk menegakkan keadilan bagi rakyat miskin kota dan desa yang terhimpit kehidupan mereka seperti para setinggan Tasek Utara di Johor Bahru dan penoreh
getah miskin di Baling, Kedah. Setelah hampir suku abad itu, Anwar kini pada petang itu kembali semula ke pangkuan kami yang berada di luar koridor kuasa pemerintah. Bersama kembali Anwar bersama kami dalam perjuangan menegakkan keadilan, bebebasan dan kebenaran.

Selepas tamat ucapannya yang agak panjang juga maka pihak penganjur membuat seruan supaya kami berarak dari Mesjid Negara ke Dataran Merdeka. Kami yang berhimpun itu mulailah bergerak. Terlalu ramai dan sesak di perkarangan Mesjid Negara itu. Untuk kami sampai ke pintu keluar Mesjid Negara itu saja, kami mengambil masa yang panjang. Pada ketika itu, saya melihat segala lapisan masyarakat yang datang. Ada orang Cina dan India tetapi yang ramainya ialah orang Melayu.
Ternyatalah isu Anwar itu begitu rapat di hati orang-orang Melayu.

Bukan lelaki saja tetapi wanita juga; orang-orang tua dan orang-orang muda. Tetapi yang ramainya ialah orang-orang muda. Dalam perhimpunan sebentar tadi Mesjid Negara itu, saya saksikan ada orang-orang muda yang datang dari Pulau Pinang. Saya kenal mereka. Mereka datang khusus untuk menghadiri perhimpunan raksaksa itu. Yang muda-muda dari golongan Melayu itu saya lihat muka mereka gaya para pelajar. Golongan profesional pun ramai yang datang. Saya boleh membaca rupa mahasiswa dan golongan profesional. Pemuda-pemuda gelandangan pun ada. Pemuda-pemuda panas baran pun ramai. Mereka ini sudah mengikat kain merah bertulis perkataan refomasi di dahi masing-masing. Saya teringat sejarah kami masa
muda-muda dulu di kampus. Macam itu jugalah kami. Golongan wanita juga ramai yang datang. Ada yang membawa adik kecil dan anak. Mereka dapat dikenali dari pelbagai golongan, pelajar IPT, golongan profesional dan juga wanita parti politik. Kelihatannya yang politik itu, mereka mungkin penyokong Anwar dari dalam UMNO. Mereka ada membawa gaya Wanita UMNO pada muka mereka. Kalau wanita dari Muslimat PAS lain pula gaya mereka.

12. PERARAKAN REFORMASI KE DATARAN MERDEKA

Maka beraraklah kami ke Dataran Merdeka. Terlalu ramai manusia bergerak menuruni bukit dari Mesjid Negara ke Dataran Merdeka. Pemuda-pemuda reformasi menyanyi lagu-lagu bersemangat mereka. Mereka melaung-laungkan slogan reformasi dan “Undur Mahathir Undur”. Saya yang sudah berumur ini pun tumpang semangkuk. Sdr Razak Ahmad kelihatan senyum saja. Tetapi saya tahu kaki Razak sakit. Sampai di depan Daya Bumi Razak cadangkan kami berhenti sekejap. Hati saya hendak segera ke depan. Tetapi kerana bersimpati dengan Razak kami berhenti berehat seketika. Razak kelihatan penat. Tetapi kemudian dia gagahi lagi dirinya. Kita kedepan lagi, katanya mungkin memahami kehendak kami orang muda-muda. Pada ketika itu Sdr Tian Chua melintasi kami. Tian Chua nampak kami. Dia berhenti. Kami bertegur salam. Bersama Tian Chua kelihatan ramai kawan-kawan yang kami kenal. Kebanyakannya para mahasiswa dan aktivis NGO. Saya masih ingat
Sdr Tian Chua membisikkan kepada daya. Peristiwa hari ini adalah sesuatu yang historic, katanya. Saya juga pun beranggapan demikian. Jadi apabila pulang ke rumah keesokannya, saya terus menulis sebuah puisi untuk merakamkan detik bersejarah itu. Puisi itu saya namakan, “Sepanjang Jalan Ke Dataran Merdeka”.

Sdr Razak Ahmad, Sdr Mohd Salleh, saya dan beberapa anggota PRM lainnya berkumpul berdekatan bangunan Mahkamah, di penjuru berdekatan persimpangan ke Jalan Lebuh Pasar. Saya kemudian memberitahu Sdr Razak bahawa saya mahu merapati ke pentas yang terletak di bawah Bendera Jalur Gemilang yang besar itu. Kami nampak penganjur-penganjur perhimpunan reformasi sudah sampai di situ dan sedang berusaha membuat sambungan bekalan elektrik untuk PA system.

Tian Chua nampak saya datang ke pentas itu. Kami bergerak ke depan. Dia terlalu berani. Maklumlah orang muda. Saya lebih berhati-hati. Mungkin kerana dah tak berapa muda.Takut kena cekup Polis. Tak balik ke Johor malam itu. Kami nampak Malik Hussin memegang mikrofon. Kami tunggu juga bila agaknya Sdr Malik Hussin hendak beri peluang kami berucap sama.
Ingin juga bercakap di depan manusia ratusan ribu itu.Tetapi orang terlalu ramai. Malik mungkin tidak nampak kami. Kemudian ucapan pun bermula. Dr Wan Azizah berucap pada petang itu. Suaranya lantang walaupun halus. Cukup bertenaga dan bersemangat. Dr Wan Azizah membacakan semacam perisyitharan perhimpunan pada petang itu.

Seingat saya apa yang saya dengar dengan telinga saya, antara tuntutan perhimpunan pada petang itu ialah meminta supaya Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri. Selepas Ucapan Wan Azizah itu, majlis perhimpunan itu ditutup dengan baik. Saya masih ingat lagi pihak penganjur menyeru supaya perhimpunan itu bersurai dengan aman dan
baik.

Kerana tidak ada apa-apa lagi yang perlu ditunggu, maka kami pun meninggalkan Dataran Merdeka itu. Kami terpaksa kembali semula ke tempat kami meletak kereta di tepi Jalan Young. Ini bererti kami terpaksa berjalan mendaki bukit lagi. Kemudian kami pun bersedia untuk pulang ke Johor pada malam itu. Pertama yang kami lakukan ialah menghantar SdrAbd Razak Ahmad ke Medan Mara untuk menaiki bas Eksekutif Mara ke Johor Bahru. Kami yang lain kemudian ke Pudu Raya.

Kami tidak merasakan kemungkinan berlaku apa-apa yang luar biasa pada lewat petang itu atau sebelah malamnya iaitu selepas perhimpunan aman di Dataran Merdeka itu bersurai menjelang tibanya Maghrib. Saya sedia menjadi saksi bahawa perhimpunan di Dataran Merdeka dan di Mesjid Negara sebelum itu, kedua-duanya berjalan aman dan teratur.

Tetapi ketika kami bersama Sdr Razak Ahmad berada di Medan Mara itu kami nampak arus manusia bergerak berderap serentak melalui Jalan Raja laut itu. Kami tidak mengesyaki apa-apa. Kelihatannya mereka itu anak-anak muda. Kami tidak tahu ke mana mereka menuju.

13. ANWAR IBRAHIM DITAHAN

Tetapi keesokan paginya apabila saya sudah sampai ke Johor saya mendengar berita di radio bahawa Anwar Ibrahim telah ditahan pada malam itu. Media juga melaporkan tentang penyokong-penyokong Anwar berarak ke Seri Perdana, rumah Perdana Menteri dan ke Ibu Pejabat UMNO di PWTC.

Pada malam 20 September yang hitam itu Anwar Ibrahim telah ditahan di rumahnya dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman. Pada malam itu juga dia diikat kedua tangannya dan matanya ditutup dengan kain dan kemudian bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden UMNO itu diserang oleh Tan Sri Abd Rahim Noor, bekas Ketua
Polis Negara. Zalim sungguh menyerang seorang manusia yang diikat kedua tangan dan mata ditutup rapat. Hampir maut Anwar malam itu.

Sejak malam tarikh 20 September 1998 itu Anwar hilang kebebasan peribadinya. Matanya kirinya lebam berdarah. Serangan ke atas muka dan kepalanya meninggalkan kecederaan. Bukan sahaja ke atas diri fizikal Anwar tetapi juga ke atas keluhuran undang-undang di Malaysia. Kini setahun kemudian Anwar masih terkurung di Penjara Sungai Buloh.

Walaupun sudah setahun berlalu, tetapi masih ternampak-nampak ketika kami berbual dengan Anwar di bilik di rumahnya di Bukit Damansara itu. Saya masih ternampak-nampak lagi Anwar muncul di anjung Mesjid Negara bersama Dr Wan Azizah untuk memberi pidatonya di perhimpunan raksakasa itu. Imej mental ini tidak mudah padam.

14. SETAHUN KEMUDIAN

Dalam masa setahun ini saya juga dapat memerhatikan gelagat sahabat-sahabat saya di dalam UMNO. Ketika Anwar sedang naik menjadi orang nombor dua dalam UMNO dan kerajaan, saya melihat betapa oporcunisnya sesetengah kenalan saya itu. Mereka cuba mendekati Anwar. Masing-masing menunjukkan setia dan akrab. Ada yang menulis buku mencoretkan kisah-kisah lama perjuangannya bersama Anwar. Tetapi apabila Anwar jatuh, orang-orang ini mulalah mengambil pendirian baru. Mula-mula mereka merenggangkan jaraknya dari Anwar. Kemudian mengambil posisi yang lebih jelas menyokong Mahathir. Yang paling menyedihkan, kerana kepentingan peribadi ada yang tergamak dan sanggup turun ke gelanggang menyerang Anwar. Begitulah dunia politik tak berperinsip yang dapat saya perhatikan selama setahun ini. Tetapi golongan seperti itu tidak ramai. Lebih ramai sekarang orang yang tidak mahu lagi duduk bebas atas pagar. Masing-masing membuat pendirian. Ramai orang sekarang komited kepada perjuangan untuk membuat perubahan, untuk keadilan, untuk kebenaran, untuk kebebasan, untuk reformasi tulen. Anwar adalah mangkin atau catalyst terhadap kebangkitan gelombang rakyat ini.

Tidak itu sahaja. Dalam setahun ini Anwar Ibrahim telah muncul sebagai seorang pemimpin yang istimewa. Sukar untuk mencari seorang pejuang yang setabah hatinya. Tak ramai orang tahan menentang tohmhan seperti yang dilemparkan ke atas tubuh badannya. Segala jentera dan instrumen negara dikerahkan oleh Mahathir untuk menghancurkannya. Anwar tabah.Semangatnya kuat. Anwar cukup yakin pada dirinya. Dia mempamerkan watak seorang beriman yang bertaqwa kepada Allah. Dia begitu tenang menghadapi musibah yang menimpa dirinya.Inilah yang menjadikan ramai kawan-kawan dan penyokongnya yang teragak-agak pada mulanya tetapi akhirnya menyertai arus dan gelombang kebangkitan rakyat.

Anwar hari ini bukan saja ditahan dalam penjara seorang diri. Dia dilayan dengan buruk sekali. Anwar kelihatan kurus dan cengkung. Berat badannya susut dengan banyak. Anwar juga dibicarakan dengan tuduhan demi tuduhan. Sangat aib dan memalukan pertuduhan-pertuduhan itu. Termasuk pertuduhan yang tarikhnya dipinda sebanyak dua kali. Anwar dipisahkan
dari anak isteri, ibu dan bapa serta keluarga terdekat yang menyayanginya. Dia hilang segala kedudukan dan jawatannya. Dia diaibkan dengan pertuduhan sedemikian buruk yang direka-reka. Dia dimalukan satu dunia. Segala saksi pendakwa yang berbohong dan tilam pun dihimpun dan diangkut ke mahkamah. Segala jenis hakim muncul di mahkamah. Mahkamah
yang bersidang, keadilannya dipertikaikan.

Itu semua masih tidak cukup untuk menzalimi Anwar oleh mereka yang berkomplot dan berkonspirasi untuk menjatuhkannya. Kini yang terbaru, Anwar Ibrahim diracun dengan racun arsenik yang berbahaya. Para konspirator bukan sahaja mahu membunuh kerjaya politik Anwar tetapi nyawanya sekali. Anwar mahu dibunuh secara perlahan-lahan. Tetapi syukur, konspirasi beracun ini dapat dibongkar. Namun begitu kerosakan ke atas tubuh dan jasad Anwar sudah berlaku. Ini satu kezaliman yang tidak dapat dimaafkan.

15. KUASA RAKYAT UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN

Sekarang dalam masa setahun ini rakyat dapat menyaksikan sendiri apa yang telah berlaku ke atas Anwar Ibrahim. Seorang pemimpin negara yang pernah menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri kini sedang dizalimi. Rakyat perlu membuat pertimbangan yang adil. Apakah kezaliman seperti ini mahu dibiarkan saja? Jika jawapannya TIDAK, maka rakyat yang ada
kuasa perlu bertindak. Pilihanraya umum kesepuluh akan tiba bila-bila masa dari sekarang. Dalam sistem demokrasi rakyat ada kuasa mengundi. Dengan undi rakyat pemerintahan yang zalim boleh ditumbangkan.