Mahathir Membunuh Demokrasi

Sepanjang 18 tahun pemerintahan Malaysia di bawah Mahathir Mohamad, semua institusi utama negara yang menjadi tiang seri dan tunggak kenegaraan telah diserang dan dihakis oleh Mahathir kerana dia mahu menghimpunkan segala kekuasaan dalam genggamannya.

Akibatnya, kebebasan kehakiman dihakis. Kebebasan akhbar ditekan. Kebebasan pelajar dan intelektual disekat. Kebebasan rakyat berpolitik disempitkan. Kebebasan maklumat disempitkan dengan wujudnya OSA dan Akta Percetakan dan Peneribitan yang lebih ketat.

Jadi, apabila semua institusi ini, yang masing-masing mempunyai peranannya, telah dibunuh sedikit demi sedikit, maka pada analisis akhirnya, regim seperti ini mempunyai satu saja lagi kaedah untuk menekan kebangkitan rakyat, iaitu melalui pembunuhan. Ini telah berlaku di Algeria, di Mesir, di Chile, di Indonesia, di Filipina, di Negeri Thai dan di banyak negara.

 

Budaya Pembunuhan Politik Di Malaysia
Mahathir menangkis dakwaan bahawa kerajaan terlibat dalam rancangan meracun Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri. "Bukan menjadi budaya kerajaan untuk membunuh orang dan sehingga kini tiada orang di Malaysia dibunuh kerana berbeza fahaman politik." Demikian kata Mahathir Mohamad, Perdana Menteri. (Mingguan Malaysia 12 September 1999)

Mari kita imbas kembali apa yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Apakah benar dakwaan Perdana Menteri itu?

 

Percubaan Pertama Membunuh Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim telah diserang oleh bekas Ketua Polis Negera, Tan Sri Rahim Noor di bilik lokap Polis di IbuPejabat Polis Malaysia di Bukit Aman pada malam 20hb September 1998. Menurut Dr. Abdul Halim bin Haji Mansar (seorang doktor pakar yang menjadi Saksi ke-11 dalam Sisatan Suruhanjaya Diraja), kecederaan yang dialami Anwar Ibrahim adalah serius. Menurut fakta, Dr. Halim bin Hj Mansar menyatakan kecederaan di tengkok dan lain-lain bahagian yang membahayakan boleh membawa maut. Kes ini menunjukkan adanya budaya membunuh. Peguam Anwar Ibrahim  menggesa supaya Rahim Noor dibicarakan atas tuduhan cuba membunuh Anwar Ibrahim dengan sengaja.

 

Kes Pembunuhan Politik Sesama Pemimpin UMNO
Pada tahun 1980-an, serang bekas menteri kanan UMNO dan BN, iaitu Datuk Mokhtar Hashim, bekas Menteri Kebudayaan, pernah didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kerana tuduhan membunuh Datuk Taha, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan. Datuk Taha mati ditembak. Perbicaraan yang panjang itu kemudiannya mendapati Datuk Mokhtar bersalah kerana membunuh.

Datuk Mokhtar Hashim dan Datuk Taha kedua-duanya adalah pemimpin UMNO. Kerana masalah dalaman UMNO di Negeri Sembilan, ada orang telah mati dibunuh. Kes ini menunjukkan ada budaya pembunuhan dalam politik UMNO. Memang bukan kerajaan yang terlibat. Tetapi pihak-pihak yang terbabit itu adalah orang-orang dalam kerajaan.

 

Pembunuhan Politik di Memali, Kedah
Pada tahun 1980-an juga, di awal zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri, maka  telah berlaku satu pembunuhan politik beramai-ramai. Kali ini jentera kerajaan terlibat dalam pembunuhan itu. Sdr Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya yang merupakan ahli-ahli PAS di Memali, Kedah, telah dbunuh oleh polis yang di bawah kawalan kerajaan UMNO dan BN pimpinan Mahathir Mohamad.

Ramai orang-orang Melayu Islam di Memali itu mati di hujung senapang polis-polis yang menjalankan arahan dan perintah dari ketua politiknya Mahathir. Ini sejarah. Darah telah tumpah ke bumi. Ramai manusia terkorban dan mati. Mahathir tidak boleh cuci tangan. Ini sejarah hitam dalam sejarah kepimpinannya. Sama ada Mahathir terlibat secara langsung atau tidak, Tuhan saja yang tahu. Tetapi Mahathir tidak boleh lari dari memikul tanggungjawab. Konsep Jemaah Menteri adalah berdasarkan falsafah tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Mahathir tidak boleh melepaskan tangungjawab akan tragedi yang buruk itu dipikul oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Musa Hitam. Apabila nama baik, Perdana Menteri mahu pujian, tetapi apabila nama buruk, dia mahu serah pada orang lain pikul. Itu tidak betul.

Segala-galanya Perdana Menteri terpaksa pikul sebab dia ketua dan pemimpin kerajaan yang berkuasa. Authority boleh diagihkan kepada Menteri-Menteri lain, tetapi responsibility perlu dipikul oleh ketua kabinet, iaitu Perdana Menteri sendiri. Jika Mahathir ada kebijaksanaan dan kesabaran, permasalahan berkaitan politik di sebuah kampung di Memali itu dapat diselesaikan dengan baik, tanpa pertumpahan darah serta pembunuhan. Tidak perlu polis yang bersenjata menggempur rakyat yang tidak berdosa. Peristiwa Memali adalah satu kes pembunuhan politik dalam sejarah Malaysia moden.

 

Pembunuhan Politik Peristiwa 13 Mei
Pada 13 Mei 1969, peristiwa rusuhan kaum telah berlaku di Kuala Lumpur. Ramai orang terkorban, mati dan cedera. Banyak harta benda terbakar dan musnah. Pergaduhan kaum tidak boleh berlaku atas kesalahan satu pihak. Tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Ada aksi dan reaksi. Kedua-dua pihak (ekstremis Melayu dan bukan Melayu) mesti bertanggungjawab. Rusuhan kaum tidak akan berlaku jika tidak ada unsur-unsur provokasi dan batu api dari kedua-dua pihak. Rusuhan berdarah itu berlaku selepas pilihanraya umum yang berlangsung pada 10 Mei 1969. Ini bermakna sangat rapat hubungan Peristiwa 13 Mei itu dengan politik. Itu satu lagi contoh budaya pembunuhan politik.

 

Konspirasi Kematian Profesor Zulkifli Mohamad
Pada tahun 1960-an, juga terdapat beberapa kematian tokoh-tokoh politik pembangkang dari PAS yang mengalami kemalangan hingga membawa kematian. Tidak ada penyiasatan yang lengkap dan bebas telah dijalankan. Tetapi kemalangan jalanraya yang melibatkan kematian Profesor Zulkifli Mohamad,  Timbalan Yang DiPertua PAS dipercayai berpunca dari perancangan politik anasir-anasir tertentu di dalam UMNO yang mahu melihat tokoh PAS yang lantang dan berani itu terbunuh.

 

Pembunuhan Perlahan-lahan Ke atas Dr Burhanuddin Al-Helmy
Pembunuhan tokoh-tokoh politik tidak semestinya dijalankan secara kematian mengejut. Ada konspirasi yang merancang supaya kematian itu berlaku perlahan-lahan dengan merosakkan tubuh badan tokoh-tokoh yang jadi sasaran itu. Salah seorang tokoh penting politik Malaysia sejak sebelum merdeka dan juga selepas merdeka telah mengalami seksaan dan kezaliman sejak di zaman British hinggalah selepas merdeka di bawah UMNO dan Perikatan.

Pemimpin yang dimaksudkan itu ialah Dr Burhanuddin Al-Helmy. Beliau adalah bekas Presiden Pertubuhan Kebangssan Melayu Malaya (PKMM) sebelum parti radikal itu diharamkan oleh Inggeris pada tahun 1948. Semasa zaman Inggeris, beliau telah ditahan tanpa bicara. Kemudian selepas merdeka pun, Dr Burhanuddin juga ditahan di bawah ISA.

Beliau salah seorang pengasas Parti Rakyat Malaya (PRM) yang ditubuhkan pada tahun 1955. Kemudian, beliau telah diberi mandat memimpin PAS sehinggalah beliau meninggal dunia. Sebahagian dari hidupnya berada di dalam tahanan Malaya yang merdeka di bawah pemerintahan UMNO dan Perikatan.

"Semasa ditahan dalam lokap Dr Burhanuddin sering menahan kencing oleh kerana pintu tidak dibuka apabila beliau memanggil. Beliau tidak sanggup menajiskan biliknya, kerana di situ juga tempat menunaikan solat. Akibat melawan desakan semulajadi, penyakit yang dihadapinya masa itu jadi bertambah teruk. Seorang doktor yang pernah ditahan bersama-samanya menceritakan penyakit ini jugalah yang membawa maut kepadanya." (Petikan m. s. 13 Buku Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara, tulisan Dr Syed Husin Ali).

Ini satu kes di mana pihak berkuasa (kerajaan) yang diwarisi oleh kerajaan UMNO/BN pimpinan Mahathir sekarang tergamak lakukan ke atas orang yang berlainan politik dengan mereka. Kes-kes seperti yang disebut di atas ini adalah sebahagian sahaja dari contoh-contoh budaya membunuh dalam politik dalam sejarah Malaysia  moden selepas Merdeka.

 

Tamat

 

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

 

Terima kasih atas kerjasama anda.
 
Pink Panther

--------------------------------------------------------------------------------