Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) berhimpun di Mesjid Negara Kuala Lumpur pada hari Ahad 19 September lalu mempunyai dua tujuan utama. Pertama, bersembahyang hajat dan kedua, untuk menghantar memorandum berkenaan kes Anwar Ibrahim kepada DYMM Yang Di-Pertuan Agung di Istana Negara.
Benarkah Perhimpunan Itu Aman?
Para penyokong DSAI bergerak dari Mesjid Negara ke Istana Negara secara aman. Mereka membawa sebuah memorandum. Sesetengah pemimpin mereka memakai baju Melayu lengkap bersamping untuk mengadap DYMM Yang Di-Pertuan Agung, jika dipekenankan. Tidak ada senjata merbahaya yang dibawa. Kes seorang budak pelajar membawa sebilah pisau tentera Suisse bersama kuncinya di luar kemampuan pihak penganjur untuk mengawalnya.
Sebaliknya, sejak dari awal sampai ke akhir sebelum bergerak, semua orang diingatkan oleh penganjur bahawa perhimpunan itu adalah secara aman, dan jika berarak, mestilah juga secara aman. Polis yang membuat rakaman video atau kaset boleh dengar semula ingatan yang diberikan oleh pihak penganjur itu.
Kenapa Ada Anggota Polis Yang Cedera?
Kes pegawai polis cedera dibaling batu hingga luka di kepala itu perlu diteliti mengikut urutan peristiwa pada petang itu. Fakta sahih menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin perarakan yang bergerak melalui pintu keluar bersetentang dengan Bangunan Pusat Islam telah diserang dengan ganasnya oleh pasukan Polis FRU.
Pemimpin-pemimpin perarakan aman itu telah dipukul di tengkuk, rusuk, tangan, lengan dan kepala. Beberapa orang telah cedera dan luka sehingga berdarah. Dalam masa yang sama, gas-gas pemedih mata dan air kimia ditembak oleh FRU ke arah orang ramai di dalam dan di luar Mesjid Negara. Gambar muka depan Utusan Malaysia pada 20hb September boleh menjadi bukti betapa tebalnya asap gas pemedih mata itu.
Siapakah Yang Memulakan Provokasi?
Provokasi pihak Polis FRU itu besar kemungkinan telah mencetuskan kemarahan beberapa orang penyokong DSAI (yang di luar kawalan pihak penganjur untuk mencegahnya). Tetapi perlu juga diteliti adakah yang membaling batu ke arah anggota polis itu benar-benar penyokong DSAI ataupun agen-agen provokasi yang sengaja diupah supaya bertindak ganas terhadap polis untuk mencemarkan perhimpunan aman itu?
Kenapa Berhimpun Di Mesjid Negara?
Pertamanya, kerana ada solat hajat pada petang Ahad itu. Tidak ada sesiapa boleh menghalang hak penyokong DSAI untuk memohon doa kepada Allah untuk melindungi Sdr Anwar Ibrahim. Mereka mendoakan supaya bekas Timbalan Perdana Menteri itu sembuh dari racun yang ada di dalam tubuh badannya dan beliau tabah dalam menghadapi kezaliman serta penganiayaan yang menimpa dirinya.
Sebab kedua kerana hanya mesjid sahaja sekarang tempat yang selamat bagi rakyat berkumpul. Kenapa Tidak Berhimpun Di Tempat Lain? Tempat yang mana? Dataran Merdeka telah dikepung oleh berpuluh-puluh trak polis FRU yang lengkap bersenjata. Padang lapang itu tempat yang ideal untuk rakyat berhimpun. Tetapi tidak dibenarkan. Maka tidak ada pilihan lain, melainkan Mesjid Negara.
Benarkah Penyokong DSAI Hendak Jatuhkan Kerajaan Dengan Merusuh?
Soalan itu karut. Di Kangar, Perlis, Dr Mahathir Mohamad berkata rusuhan di KL tidak akan menjatuhkan kerajaan. Tiada niat untuk merusuh di pihak penganjur. Polis sengaja mencetuskan ketegangan seolah-olah rusuhan terancang berlaku. Dengan bantuan media seperti akhbar dan tv, dipotretkan ke mata dan minda rakyat seluruh negara bahawa rusuhan terancang telah berlaku.
Penganjur utama perhimpunan itu adalah Parti Keadilan Nasional. KeADILan bersama parti-parti alternatif yang lain - seperti PAS, PRM dan DAP - tidak pernah bersetuju bahawa BN patut dijatuhkan secara rusuhan. Mereka tidak pernah menyeru supaya rakyat bangun merusuh untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Ganti BN Melalui Pilihanraya
Memang benar Barisan Alternatif bersatu untuk menumbangkan BN. Tetapi melalui proses pilihanraya. Mandat BN sudah hampir tamat. Mandat mesti dipulangkan semula kepada rakyat. Barisan Alternatif hanya meminta rakyat supaya memberi pula mandat itu kepadanya untuk membentuk sebuah kerajaan bagi mentadbir Malaysia buat lima tahun akan datang. Barisan Alternatif tidak meminta rakyat merusuh untuk menjatuhkan kerajaan BN.
Tidak payah merusuh, BN secara automatik mesti letak semula kuasa mereka tidak lama lagi. Suka atau tidak, Mahathir Mohamad tidak lama lagi mesti membubarkan Parlimen untuk membolehkan satu pilihanraya umum diadakan. Apabila Parlimen dibubarkan bermakna BN sudah tidak ada kuasa lagi. Jadi apa perlu merusuh? Tunggu saja tarikh pembubaran Parlimen. Kemudian, kempen pilihanraya secara rasmi bermula. Rakyat akhirnya yang akan menentukan siapa yang mereka akan pilih untuk membentuk kerajaan bagi lima tahun akan datang.
Mengapa BN Mahu Timbulkan Ketegangan?
Sebaliknya, BN memang mengharapkan susasana menjelang pilihanraya akan wujud ketegangan dan rusuhan. Jika suasana sedemikian terjadi, maka BN dengan pantas akan dapat menyalahkan parti-parti Barisan Alternatif itu sebagai pencetus ketegangan dan rusuhan.
Isu sensitif yang mudah dieksploit ialah budaya, bahasa dan agama. Pada pilihanraya umum 1990, isu Tengku Razaleigh Hamzah memakai sigah (tengkolok) yang didakwa kononnya bertanda salib sengaja BN heboh-hebohkan untuk mencetuskan ketegangan. Sekarang Mahathir dan BN akan gunakan isu Mesjid Negara dijadikan tempat orang berhimpun dan membuat ucapan politik.
Berkaitan dengannya, akan dibangkitkan tentang pemimpin-pemimpin bukan Islam berucap di anjung Mesjid Negara. Tujuannya sama seperti kes Tengku Razaleigh Hamzah dulu, iaitu untuk membangkitkan kemarahan orang Islam. Matlamat Mahathir supaya pengundi-pengundi Melayu Islam akan mengundi BN semula.
Benarkah Dakwaan PM Bahawa Isu Anwar Diracun Bohong?
Di Kangar, Dr Mahathir Mohamad memfitnah Anwar Ibrahim, yang sedang sakit di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). PM berkata Anwar Ibrahim sengaja berbohong dirinya diracun supaya mendapat simpati rakyat bagi menentang kerajaan dan melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah.
Mahathir bercakap demikian pada malam hari Isnin, 20 September di Kangar, Perlis. Tetapi pada hari yang sama di Kuala Lumpur, Mahkamah Tinggi membenarkan supaya kes DSAI ditangguhkan sehingga Isnin depan setelah laporan doktor dari HUKM mengesahkan bahawa DSAI itu tidak sihat untuk menghadiri perbicaraan. Surat dari HUKM ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dihantar oleh Pengarah dan Profesor HUKM, Datuk Dr Khalid Abdul Kadir. Surat itu bertarikh 17 September.
Anwar dimasukkan ke HUKM pada 10 September. Selepas seminggu (17hb September), ketika surat itu disediakan oleh HUKM, DSAI masih tidak sihat. Jadi siapa yang berbohong? Anwar Ibrahim berbohong bahawa dia sihat tapi pura-pura tidak sihat? Atau Prof. Dr Khalid Abdul Kadir, Pengarah HUKM, berbohong mengatakan DSAI tidak sihat, tetapi sebenarnya beliau sihat? Atau Dr Mahathir Mohamad yang berbohong di Kangar?
Pelabur Di Malaysia Lakukan Rasuah
Datuk Abdullah Hj Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa para pelabur Malaysia di luar negara dipuji kerana tidak melakukan perbuatan rasuah. Syabas kita ucapkan. Para pelabur itu memberi gambaran yang baik bagi Malaysia. Hal ini boleh disebabkan beberapa faktor. Pertamanya, kerana para pelabur itu memahami bahawa di negara-negara tempat mereka melabur itu, amalan rasuah tidak diamalkan meluas seperti di Malaysia sendiri. Kedua, mungkin undang-undang anti-rasuah tegas di negara berkenaan.
Tetapi di Malaysia sendiri, lain pula halnya. Para pelabur tempatan di Malaysia sendiri sangat terkenal kerana amalan rasuah mereka. Tokoh-tokoh korporat yang ada di negara kita sekarang merupakan pelabur. Merekalah pelabur tempatan. Sesetengah mereka usahawan tulen. Sesetengah pula kroni.
Kroni-kroni Mahathir dan Daim inilah yang kuat merasuah. Mereka menyogok berjuta-juta ringgit kepada pemimpin kerajaan. Ini jelas kelihatan dari laporan polis bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang perilaku rasuah Daim Zainuddin.
Tokoh-tokoh korporat seperti Halim Saad, Tajuddin Ramli dan Azmi Wan Hamzah menyogok wang dan saham melalui Daim Zainuddin. Menurut Daim, wang dan saham yang disumbangkan itu untuk UMNO. Sama ada untuk Daim sendiri atau untuk UMNO, kedua-duanya rasuah. Yang menerima melakukan rasuah. Yang memberi pun melakukan rasuah.
Benarkah Jentera BN Siap Sedia?
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Rahmat berkata jentera BN 100% siap sedia untuk menghadapi pilihanraya. Betulkah begitu?
Kalau dah siap sedia, kenapa tidak umumkan tarikh pilihanraya dari sekarang? Kalau tarikh sudah diumumkan, semua pihak senang buat kerja. BN senang berkempen. Barisan Alternatif pun senang berkempen. SPR pun senang laksanakan tugasnya. Rakyat pun senang buat keputusannya. Hendak tunggu apa lagi?
Kalau betul BN sudah sedia 100 peratus, Mohamaed Rahmat mesti berjanji bahawa BN masuk bertanding dalam pilihanraya kali secara bersih, telus dan amanah. Pertama, jangan gunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
Kedua, BN bertanding atas kekuatan partinya sahaja. Ini bermakna RTM, Radio dan TV Malaysia tidak boleh jadi serombong propaganda BN. Jabatan Penerangan jangan menyibuk berkempen untuk BN. Kemas jangan digunakan untuk lakukan gerak gempur meraih undi. Special Branch jangan digunakan untuk mengumpul maklumat dan menakut-nakutkan pengundi. Pihak pengurusan RISDA, FELCRA, FELDA jangan digunakan untuk kepentingan BN.
Kalau benar BN bersifat demokratis, ia mesti faham bahawa apabila Parlimen dibubarkan, maka kerajaan yang ada pada waktu itu adalah kerajaan sementara sahaja atau “caretaker government”. Jadi Perdana Menteri dan Menteri-Menteri tidak boleh buat janji-janji untuk memancing undi. Kedudukan BN sama tarafnya dengan parti-parti alternatif.
Beranikah Mohamed Rahmat menghadapi parti-parti alternatif jika BN tidak dibantu oleh jentera kerajaan?
Ku Li Sudah Melatah
Kasihan melihat Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Presiden Parti Semangat 46. Dia dah jadi tokoh politik melatah pada waktu ini. Dulu bukan main dia hentam Mahathir. Kita masih ingat Tengku Razaleigh kata Mahathir itu diktator, Mahathir menghancurkan ekonomi Malaysia, Mahathir mengancam kepentingan Melayu.
Hari ini, dia jadi gurkha Mahathir. Kerjanya sekarang dilakukan dengan taksub sekali. Dia mahu jatuhkan PAS di Kelantan. Dia hentam Tuan Guru Nik Aziz kiri kanan, depan, belakang. Dia hentam Datuk Hj Fadzil Noor, Presiden PAS. Macam-macam dia kata terhadap pemimpin PAS dan Parti PAS. Kenapa dia benci sangat terhadap PAS?
Razaleigh kata dia pemimpin nasional. Dia patut berdiri bercakap isu negara yang lebih utama. Tidakkah ekonomi negara sekarang bermasalah? Kegawatan dan krisis yang berlaku baru-baru ini berpunca dari kesilapan dasar ekonomi BN pimpinan Mahathir sendiri. Dulu Tengku Razaleigh tentang Mahathir kerana buat projek-projek mega. Sekarang projek mega yang Mahathir buat lebih besar dari yang dulu Razaleigh tentang.
Dulu Razaleigh tentang Mahathir kerana serang kebebasan mahkamah. Mahathir pecat Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima orang Hakim Mahkamah Agung. Tidakkah Ku Li nampak sekarang mahkamah di Malaysia bersekongkol dengan Mahathir? Tidak nampakkah Mahathir sekarang kuasai Hakim-hakim? Mahathir boleh ugut Mahkamah secara tidak langsung.
Mahathir buat kenyataan menghina mahkamah jika dia tak berkenan sesuatu keputusan. Tidakkah Peguam Negara sekarang terbabit dengan kes-kes pendakwaan berpilih.
Ku Li kena ingat lagi manifesto Gagasan Rakyat yang dia pimpin dalam Pilihanraya Umum 1990. Tidakkah tema manifesto itu bertajuk, “Selamatkan Malaysia”? Sepatutnya, Ku Li sekarang bersama parti-parti alternatif, bukan bersama Mahathir.
Inilah nasibnya kalau pemimpin politik tak tabah hati dan senang melatah. Kena geletek Mahathir sedikit terus melenting melompat balik ke UMNO(Baru). Mana pergi UMNO (Lama) atau Semangat 46 dulu?