Subject: [Isu Semasa] Surat Kepada PM - 1 September 1999
 
HAJJAH MARINA YUSOFF
c/o No 238 MARINARA, JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Tel: 03-2937232; Fax: 03-2935141; H/P 012-2894112
____________________________________________________________________________
_
1hb September 1999
 

YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
Putra Jaya
Selangor
Melalui: Fax, Courier,  dan tangan.
YAB Datuk Seri,

Per:  1. Aduan Terhadap Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara
        2. Tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Lain-lain

Saya menulis surat ini sebagai peguam dan bekas Majlis Tertinggi UMNO yangingin menegakkan keadilan.

1.  Saya merujuk kepada surat saya bertarikh 25hb Julai 1999 mengenai Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara. Saya harap Datuk Seri akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap aduan tersebut. Di sini saya sertakan satu lagi
salinan surat tersebut kerana saya percaya Setiausaha Datuk Seri tidak memberi surat tersebut kepada Datuk Seri, kerana lazim nya bila surat sepenting ini tidak diakui penerimaan dan tidak ada sebarang tindakan, saya percaya Datuk Seri tidak menerima nya.

2.  Saya juga telah menulis surat peribadi kepada Datuk Seri Abdullah Badawi tentang layanan buruk yang diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penjara Sungai Buluh. Saya juga telah mencuba membuat temu janji untuk berjumpa dengan beliau, tetapi sehingga hari ini belum mendapat sebarang jawapan. Oleh itu saya terpaksa menulis sekali lagi kepada Datuk Seri
kerana sebagai doktor dan manusia yang mempunyai perasaan dan hati perut, saya tidak percaya Datuk Seri mengarahkan mereka yang bekerja di bawah Datuk Seri mengeluarkan arahan-arahan untuk menyeksa dan membuat Datuk Seri Anwar
sakit, hilang akal, atau mati.

3.  Antara arahan yang telah dikeluarkan dari Jabatan Perdana Menteri oleh Setiausaha Politik Datuk Seri, Dato Aziz Samsuddin, kepada pegawai-pegawai penjara ialah: memberi Datuk Seri Anwar makanan yang tidak berzat seperti
nasi dengan sayur yang direbus sehingga hancur, dengan ikan kering atau sotong yang busuk, berkulat dan hanyir. Selepas beberapa minggu tahap darah tinggi Datuk Seri Anwar telah naik dan doktor telah mengesyorkan supaya tidak diberi ikan kering, maka ikan kering digantikan dengan telur goreng. Selepas itu kolesterol beliau pula naik. Keluarganya tidak lagi
dibenarkan membawa makanan untuknya. Perjumpaan antaranya dengan anak-anak nya menjadi keadaan begitu sedih dan memilukan apabila tidak dapat berjumpa dalam satu bilik tetapi hanya melalui bilik berasingan yang disekat dengan kaca.
Beliau tidak dapat memeluk dan mencium anak-anaknya. Kalau hendak memegang atau mencium hanya dengan meletakkan tangan atas kaca dan mencium kaca. Keadaan 'trauma' ini telah menyebabkan anak-anaknya menjadi begitu sedih dan
tak tentu arah. Perjumpaan ini terhad kepada sebulan sekali.

4. Baru-baru ini satu bilik kecil khas telah dibina untuk mengurung Datuk Seri Anwar dalamnya. Pintu besi bertambah, berbeza dengan banduan lain yang melalui tiga pintu besi untuk memasuki bangunan penjara dan satu pintu besi untuk memasuki bilik. Tetapi Datuk Seri Anwar mesti melalui tiga pintu besi untuk memasuki bangunan penjara dan tiga pintu besi lagi untuk memasuki bilik kurungan nya. Banduan-banduan lain dipindahkan ke bilik yang lebih selesa tetapi Datuk Seri Anwar dipindahkan ke bilik yang lebih kecil di mana ruang udaranya lebih sempit. Bilik ini dibina di tempat yang dahulu nya
digunakan sebagai bilik rawatan luka parah banduan termasuk pesakit yang dijangkiti HIV. Semasa pembinaan, kesan-kesan darah masih ada lagi. Bersebelah bilik ini ialah bilik mayat. Saya juga diberitahu bahawa orang yang terdekat dengan YAB sudah mengarah pembelian cat "khas" untuk mengecat bilik ini. Kontraktor yang membina bilik ini tidak dibenarkan mengecat
bilik ini tetapi dicat oleh seorang khas. Mengikut beberapa maklumat yang telah diberikan kepada saya, cat ini mengandungi racun kimia yang boleh menyebabkan kematian sekiranya seseorang menghidu nya dalam jangka masa yang lama. Ini adalah satu perkara yang sangat amat serius. Oleh kerana itu saya harap Datuk Seri mengarahkan siasatan segera terhadap perkara ini. Jangan tunggu sampai Datuk Seri  Anwar mati!

5. Walaupun YAB marah dan benci kepada Datuk Seri Anwar saya tidak percaya YAB sanggup mengeluarkan arahan-arahan berunsur zalim dan kejam dengan tujuan membunuh nya. Saya tidak percaya YAB sanggup memikul beban sebagai
orang yang bertanggungjawab menyeksa Datuk Seri Anwar dalam penjara sehingga menyebabkan dia mati. Penyeksaan dan deraan yang dikenakan ke atas nya tidak setimpal dengan "kesalahan" yang dituduh terhadap nya. Atas arahan Datuk Seri sendiri kepada Datuk Seri Anwar, dia hanya "mengarah Polis menyiasat surat fitnah Ummi Hafilda dengan lebih lanjut". Di manakah rasuah dan salah guna kuasa? Sebagai peguam, bekas Majistret dan Presiden Mahkamah Seksyen, saya berpendapat bahawa Datuk Seri Anwar tidak sepatutnya dikenakan hukuman bersalah dan dihukum penjara selama enam tahun. Oleh kerana itu untuk mengelakkan segala tidak keadilan, kesnya sepatutnya di bawa balik ke Mahkamah melalui "Revision" dan Datuk Seri Anwar sepatutnya dibebaskan dengan segera kerana beliau tidak sepatutnya dipenjarakan.

6. Kes kedua, tuduhan liwat yang sedang dibawa terhadap nya, sehingga hari ini tidak ada sebarang bukti yang sah dan Peguam Negara tidak sepatutnya membawa kes ini ke Mahkamah. Tidak ada sebarang bukti sah terhadap semua
tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar sehingga hari ini. Mereka semua termasuk Peguam Negara dan Polis telah menipu Datuk Seri kononnya ada bukti sah. Mereka telah melebih pada had, atau "gone overboard" semata-mata untuk mendapat pangkat dan pujian. Walau bagaimana pun rakyat sudah tahu bahawa kes-kes ini adalah rekaan polis dan Peguam Negara semata-mata, dan punca nya ia lah konspirasi politik Tun Daim, Datuk Megat Junid, Dato' Aziz Samsuddin dan beberapa orang lain. Semua ini telah di dedahkan di Mahkamah.

Oleh kerana itu Datuk Seri selaku Perdana Menteri Malaysia, berhak membuat arahan membetulkan segala tindakan kejam dan salah guna kuasa oleh Mahkamah, Peguam Negara dan Polis. Saya percaya sekiranya Datuk Seri mengambil tindakan yang berani dan mulia ini, ia akan menebus kembali 'conscience' rakyat Malaysia yang akan merasa lega dan berterima kasih kepada Datuk Seri.

Surah An Nahl: 90:
" Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta ke kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi Nya."

Saya sudahi dengan penuh harapan bahawa YAB akan mengambil tindakan membetulkan segala kesilapan yang telah berlaku. Saya harap Datuk Seri dapat memberi saya sedikit masa temu janji di pejabat Datuk Seri untuk membincangkan beberapa perkara tersebut.

Saya sudahi dengan ribuan terima kasih dan Salam hormat.

Saya yang benar,

Hajjah Marina Yusoff