MEDIA BN CUBA MENGELIRUKAN RAKYAT
 

Akhbar-akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia meletakkan muka depan berita besar dengan tajuk Anwar Ibrahim tidak keracunan. Laporan kedua-dua akhbar yang dikuasai secara total oleh UMNO dan BN itu amat sensasi dan mengelirukan. Laporan muka depan Berita Harian Rabu 22 September perlu diteliti secara terperinci kerana ia mendakwa laporannya itu sebagai eksklusif. Berita Harian menyebut maklumat yang didapatinya itu dari sumbernya.

Pertanyaan: Sumber dari mana? Dari pihak Hospital UKM (HUKM) atau dari pihak Polis?

Laporan Sensasi
Untuk menambah sensasi lagi akhbar itu berkata,  "Berita Harian difahamkan, ujian arsenik yang dijalankan ke atas air kencing secara berterusan selama hampir seminggu juga menunjukkan tahap arsenik Anwar Ibrahim stabil dan berada di paras normal."

Pertanyaan: Berita Harian difahamkan oleh siapa? Oleh Pengarah HUKM atau oleh pihak Polis?

Apakah fakta yang sebenar?

Pengarah HUKM, Prof Dr Khalid Abdul Kadir mengesahkan pihaknya ada keputusan awal tetapi tidak boleh membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan Anwar Ibrahim diracun dengan arsenik sebaliknya perlu menunggu hasil ujian set kedua sampel yang dijalankan di makmal di Australia dan England serta Jabatan Kimia dan Institut Teknologi Nuklear Malaysia (Mint). Laporan klinikal dari makmal Australia dan England itu dijangka siap hujung minggu ini
 
 
 

Berita Harian Buat Kesimpulan Sendiri:Kenapa?
Ini bermakna Berita Harian telah membuat keputusan lebih awal dari HUKM. Pengarah HUKM, Prof Dr Khalid dengan jelas berkata, "Adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang ada." Kenapa Berita Harian begitu gelojoh hendak membuat kesimpulan terburu-buru? Kenapa Berita Harian begitu tidak sabar menunggu?

Seterusnya, Pengarah HUKM Prof Dr Khalid Abdul Kadir berkata bahawa sampel yang pertama telah diambil dari 12 September hingga 13 September dan sampel air kecing Anwar Ibrahim diambil secara berterusan pada asas harian. Akhbar New Straits Times 21 September melaporkan pernyataan Pengarah HUKM itu, yang menyebut pihak HUKM telah menyerahkan sampel tersebut kepada Jabatan Kimia pada hari Isnin lalu 13 September tetapi Jabatan Kimia enggan menerima sampel itu atas nasihat Polis kerana tidak mengikut prosedur polis.

Kecelaruan Soal prosedur: Kenapa?
Sejak dari awal telah timbul kecelaruan dalam soal mengambil sampel ujian. Sehingga terpaksa dua kali diambil dalam jarak lebih seminggu. Adakah memang disengajakan? Sampel pertama diambil pada 12 dan 13 September. Sampel kedua diambil pada 21 September. Ini semua berpunca dari kelemahan pihak Polis.

Pihak Polis kelihatan cuai atau memang sengaja tidak memberitahu dari awal kepada pihak HUKM mengenai  prosedur Polis. Mereka sengaja menolak saja sampel yang telah diambil itu dengan sewenang-wenang. Jabatan Kimia menolak sampel pertama itu atas nasihat pihak polis.

Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi juga mengelirukan rakyat apabila berkata bahawa Anwar tidak mahu bekerjasama dengan pihak penyiasat untuk sampel diambil darinya. Jadi air kencing siapa dan kuku serta rambut siapa yang diambil pada 12 dan 13 September yang dihantar ke Jabatan Kimia, makmal di Australia dan di England oleh pihak HUKM? Kalau Anwar tidak bekerjasama bagaimana sampel pertama itu diperolehi? Bolehkah Abdullah Ahmad Badawi jawab?

Anwar Bekerjasama Dengan HUKM
Anwar Ibrahim sebenarnya bekerjasama dengan pihak HUKM. Ini disahkan oleh Pengarah HUKM sendiri. Lihat laporan NST 21 September. Akhbar itu melaporkan kenyataan Pengarah HUKM yang menyatakan bahawa Anwar Ibrahim telah bekerjasama sepenuhnya dengan HUKM dan membenarkan HUKM mengambil darah, rambut ,kuku, air kencingnya sebagai sampel untuk dibuat ujian. Itu semua adalah sampel yang pertama diambil oleh pihak HUKM sebaik sahaja Anwar dimasukkan ke hospital tersebut.

Tetapi pihak Polis secara tidak profesional telah memberi salah nasihat dengan mengarah Jabatan Kimia supaya tolak sampel tersebut. Kenapa tolak? Tidak percayakah sampel yang diambil oleh HUKM? Tidakkah HUKM hospital kerajaan? Adakah pihak Polis tidak percaya dengan hospital kerajaan? Siapa yang bersalah dalam hal ini sehingga sampel pertama itu tidak diuji oleh Jabatan Kimia? Polis atau Anwar Ibrahim? Atau memang sengaja sampel awal itu ditolak supaya ujian dijalankan ke atas sampel kedua yang sengaja lewat diambil. Pada 21 September sampel kedua diambil iaitu sebelas hari selepas Anwar Ibrahim dimasukkan ke HUKM dan kira-kira hampir sebulan selepas ujian air kencing Anwar dijalankan di makmal Melbourne, Australia.

Polis Persoal kewibawaan HUKM: Kenapa?
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mangsor Ismail berkata pihaknya tidak menerima sampel pertama yang diambil HUKM bukan kerana mempersoalkan kewibawaan dan kesahihan persempelan serta kaedah analisis tetapi kerana ia tidak diambil mengikut prosedur polis. Hujah pihak Polis ini disangkal kerana tujuan sebenarnya ialah sengaja melambat-lambatkan. Semakin sampel itu lewat diambil maka paras arsenik di dalam badan Anwar Ibrahim akan semakin rendah. Oleh kerana Anwar Ibrahim sekarang berada di bawah jagaan HUKM, jika pihak berkuasa berjaya melengah-lengakan ujian sampel kedua diambil, paras arsenik itu akan kembali kepada normal. Pada ketika itu mereka akan bersorak mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim sebenarnya tidak keracunan.

Peguam Anwar Ibrahim, Sankar N. Nair dilaporkan oleh NST pada hari Isnin 20 September berkata bahawa Anwar berasa tidak perlu untuk memberi sampelnya yang kedua kepada mana-mana jabatan kerajaan termasuk polis. Polis seharusnya dan sepatutnya bergantung kepada keputusan pihak HUKM kerana HUKM adalah satu badan kerajaan yang bebas dan neutral.

Menurut Peraturan Klinikal Bukan peraturan Polis
Menurut pandangan Pengarah HUKM,  "Untuk menentukan sama ada beliau (Anwar Ibrahim) keracunan atau tidak, ujian perlu dijalankan secara teliti dengan mengikut peraturan.  Prof. Dr Khalid berkata bahawa ujian itu perlu dibuat mengikut peraturan. Peraturan yang dimaksudkan ialah peraturan hospital dan klinikal yang profesional. Tetapi Berita Harian menambah tafsiran peraturan itu sebagai peraturan polis. Pertanyaan: Sejak bila Polis mesti campurtangan dalam ujian klinikal di hospital dan makmal? Adakah Polis lebih pakar dalam soal ujian-ujian air kencing, darah, kuku dan rambut? Di hospital, ada peraturan profesional hospital. Polis kena hormati. HUKM adalah hospital kerajaan yang berwibawa.
Kenapa tidak tegaskan soal prosedur dari awal?
Kalau Polis hendak tegaskan soal prosedur polis, nyatakan sejak awal. Kenapa selepas HUKM ambil sampel yang pertama dan kemudian serahkan kepada jabatan Kimia, maka barulah timbul soal prosedur polis?  Kenapa tidak sebelumnya? Kuku Anwar telah diptong untuk sampel yang pertama. Sampel itu ditolak oleh Jabatan Kimia atas arahan Polis. Jadi kena tunggu kuku Anwar Ibrahim tumbuh semula. Itu mengambil masa. Ini menjejaskan tahap arsenik dalam kuku itu. Semakin lama, semakin rendah tahap arsenik itu.

Keputusan Belum Muktamad
Ujian keracunan ke atas DSAI ini masih lagi dalam proses. Tetapi Berita Harian melompat begitu pantas sekali membuat kesimpulannya sendiri berdasarkan sumber maklumatnya. Rakyat perlukan laporan kewartawanan yang beretika bukannya berita sensasi yang berat sebelah dan menyeleweng.
 

Pemimpin Kerajaan Umno/BN Tak Ada Perasaan Ihsan

Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohtar Abdullah (Peguam Negara) ialah tiga tokoh utama di pihak kerajaan yang mula-mula membuat pernyataan bagi pihak kerajaan. Tidak seorang di kalangan mereka bertiga ini yang menzahirkan rasa belas ihsan terhadap Anwar Ibrahim.

Soal lambat atau cepat; soal nama samaran atau nama sebenar, soal ikut prosedur atau tidak ujian itu dijalankan; dan soal betul atau tidak cara saintifik ujian itu dilaksanakan, itu semua masalah kedua. Masalah pertama ialah betul atau tidak Anwar diracun. Kalau benar, maka satu siri soalan berikut perlu ditanya:

 

1. Siapa yang melakukan perbuatan meracun itu?

2. Siapa yang bersubahat dengannya?

3. Siapa yang menjadi dalang atau mastermind konspirasi meracun itu?

4. Di mana dan bila Anwar diracun?

a) Semasa dalam tahanan ISA di lokap Bukit Aman?

b) Semasa dalam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh?

c) Semasa dalam Tahanan Penjara Sungai Buloh selepas dijatuh hukum 6 tahun penjara sejak 14 April lalu?

5. Bagaimana Anwar diracun?

a) Melalui makanan atau minuman?

b) Melalui perkakas makanan seperti pinggan, sudu atau garfu

c) Melalui ubat-ubat yang mungkin diberikan?

 

Lima soalan ini mesti dijawab. Nyawa Anwar Ibrahim lebih penting daripada soal-soal prosedur atau teknikal. Lima soalan asas ini mesti dijawab kalau benar ternyata air kencing yang diuji itu sahih 100% adalah air kencing Anwar Ibrahim.
 

Siapa Bertanggungjawab?

Bukan Anwar Ibrahim atau isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mesti diletakkan di pihak yang terpaksa menjawab. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas Polis dan Penjara adalah pihak yang wajib menjawab. Bawa dua pemimpin ini ke mahkamah. Biar mereka jawab. Jawatan PM dan TPM adalah jawatan awam. Prinsip ketelusan dan akuntabiliti dituntut dalam kes ini. Mereka berdua berani?

Banyak pihak telah mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk menyiasat kes Anwar diracun. Anwar Ibrahim sendiri telah membuat laporan polis tentang hal ini pada 10 September dan minta disiasat. Isterinya Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Nasional telah mendesak supaya dibentuk suruhanjaya bebas itu. Semua Parti Pembangkang dalam Barisan Alternatif - yang terdiri daripada PAS, PRM dan DAP - telah membuat tuntutan yang sama supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan. Badan-badan profesional seperti Majlis Peguam dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga meminta suruhanjaya bebas dibentuk segera. Banyak pihak lagi - termasuk badan-badang NGO, pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, belia dan pelajar -membuat tuntutan serupa.

Semua pihak yang cintakan kebenaran dan keadilan menolak penubuhan satu badan penyiasat peringkat rendah yang hanya terdiri daripada pegawai-pegawai Polis atau para pegawai Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan siasatan, seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Mereka hanya mahu Suruhanjaya Diraja yang bebas melakukan siasatan. Tidak kurang daripada itu.
 

Apa Hendak Disembunyikan?

Jadi apa kerajaan Mahathir tunggu lagi? Kalau Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Mohtar Abdullah dan pemimpin-pemimpin  BN lain dalam kerajaan sekarang tidak bersalah, apa mereka perlu takut? Yang selalu takut ialah mereka yang bersalah. Apa hendak disembunyikan? Kalau mereka semua tidak bersalah, maka kebenaran akan terungkap juga akhirnya. Kenapa hendak berlengah-lengah dan berdalih lagi? Bukan Anwar yang sedang dibicarakan dalam soal ini, tetapi kewibawaan dan maruah kerajaan yang sedang dihadapkan oleh rakyat untuk dihakimi.

Usah takut Mahathir, kalau Datuk Seri tidak bersalah? Segerakan siasatan. Semakin bebas badan penyiasatan itu, semakin baik bagi kerajaan pimpinan Mahathir. Keputusan siasatan akan lebih dipercayai dan lebih berwibawa kalau Suruhanjaya Siasatan Diraja yang benar-benar profesional, bebas dan berintegriti melakukan siasatan ini. Kalau ternyata Mahathir dan menteri-menteri lain dalm BN serta suku sakatnya tidak terlibat dalam konspirasi meracun itu, nama mereka juga yang akan bersih.

Jadi hentikan polemik sia-sia di akhbar dan media. Imej kerajaan Mahathir sebagai imej kerajaan pembunuh tidak akan dapat dibersihkan melalui polemik teknikal dan prosedur di dada-dada akhbar. Kalau berani, siasat segera. Lakukan siasatan terbuka di mahkamah terbuka di ibu negara. Kalau sampel air kencing itu masih ada lagi di makmal Melbourne, Australia, kita bawa kembali ke Malaysia. Sedang tilam boleh diangkut ke mahkmah. Inikan hanya sampel air kencing.

Rakyat dan dunia mahu tahu bagaimana boleh terdapat racun arsenik sebanyak 230 ug/g creatinine dalam badan Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim adalah manusia. Tetapi racun arsenik di dalam tubuh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu ialah 77 kali ganda daripada biasa!

 
Bandingkan Wajah Anwar Dulu Dan Sekarang

Dari mana datang kimia arsenik beracun itu? Setahun Anwar Ibrahim telah berada dalam tahanan kerajaan, sama ada dalam tahanan Polis atau Penjara. Tanggungjawab moral dan legal adalah di pihak kerajaan untuk menjaga keselamatan diri Anwar Ibrahim.

Kenapa dulu dia ditahan di bawah ISA? Kalau kerajaan berani tahan dia, kerajaan juga mesti berani pikul tanggungjawab akan keselamatan diri Anwar?  Kemudian Anwar ditahan reman. Selama enam bulan beliau ditahan reman semasa perbicaraan kes yang awal. Kenapa tidak diberi ikat jamin? Kenapa para pemimpin kerajaan UMNO/BN mahu sanggat Anwar merengkuk dalam penjara.

Nah! Sekarang sudah hancur diri Anwar diracun sedemikian rupa sehingga berat badannya susut begitu banyak. Rambutnya gugur. Giginya sakit. Sendi-sendinya kebas. Kulitnya kering. Dia cengkung dan kurus. Lihatlah gambar Anwar sebelum ditahan dengan Anwar setahun kemudian? Muka Anwar sudah pucat lesi sekarang semacam mayat? Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan?

Jawab Mahathir Mohamad, jawab! Jawab Abdullah Ahmad Badawi, jawab! Anda tidak boleh lari kali ini!