Pembatalan Pengkorporatan Hospital
Oleh Hassan Karim (Naib Presiden PRM merangkap Ketua Penerangan)

Keputusan Kabinet kerajaan Barisan Nasional pada hari Rabu lalu untuk membatalkan cadangan pengkorporatan hospital-hospital dan klinik kerajaan adalah satu kemenangan rakyat, doktor-doktor yang prihatin, NGO, dan parti-parti Alternatif yang menentang keras cadangan itu. Akhirnya BN terpaksa mengaku kalah. Ia baru sedar bahawa tentangan dari rakyat kuat.

Kerana pilihanraya telah dekat, BN bimbang ia akan ditolak rakyat jika pengkorporatan hospital diteruskan. Tidak dinafikan, isu pengkorporatan hospital ini isu yang panas di peringkat rakyat jelata baik di bandar atau di desa. BN perlu mengkaji semula Manifeto Pilihanrayanya pada tahun 1990. Ia berjanji secara hitam putih dalam Pilihanraya Umum itu untuk meneruskan program kesihatan percuma untuk rakyat. Tetapi pada tahun 1999, BN secara senyap-senyap sudah menyediakan cadangan lengkap untuk mengkorporatkan hospital-hospital kerajaan mulai Januari Tahun 2000.

Segala perbuatan baik dan jahat bermula dengan niat. Segala jenayah juga dianggap bersalah jika ada niat. BN sudah ada niat sebenarnya untuk mengkorporatkan hospital-hospital kerajaan. Alasan kononnya kerana memikirkan golongan rakyat miskin yang tiada kemampuan sebagai faktor pembatalan itu adalah karut, sengaja diada-adakan untuk memaniskan hujah. Tiga faktor utama pembatalan cadangan pengkorporatan ini dilakukan.

Pertama kerana masalah krisis atau kegawatan ekonomi yang berlaku sekarang. Keduanya kerana tentangan keras dari rakyat dan parti-parti Alternatif. Ketiga kerana takut tumbang dalam pilihanraya umum akan datang. Episod ini penting sebagai teladan. Jika rakyat bangkit: jika semua pihak bersatu-padu, banyak dasar-dasar BN yang merugikan rakyat dapat didesak supaya dikaji balik. Satu daripadanya ialah dasar penswastaan yang kebanyakannya membebankan rakyat.

Bukan orang-orang miskin saja terbeban, tetapi rakyat biasa yang lain juga terbeban sama. Bukan semua rakyat negara ini kaya dan jutawan. Kebanyakannya makan gaji atau kerja sendiri yang cukup sekadar untuk hidup. Jadi apabila kos hidup meningkat akibat dasar-dasar penswastaan, maka ramailah rakyat yang jadi mangsanya.

Jadi dalam soal penswastaan ini, sama ada di bidang pendidikan, kemudahan awam seperti air, telekom, tol lebuhraya, elektrik, pos, semuanya hendaklah dikaji semula. Barisan Alternatif perlu menjadikan isu penswastaan ini sebagai isu utama dalam pilihanraya umum kali ini. Jika Barisan Alternatif berkuasa, dasar penswastaan BN yang diwarisi akan dikaji semula seluruhnya. Mana-mana yang menindas dan membebankan rakyat akan dibatalkan. Tiada kompromi.Barisan Alternatif perlu mengemukakan dasar-dasar yang mesra rakyat.