Kenyataan Media Parti Rakyat Malaysia

Oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM, merangkap Ketua Penerangan

Kes Anwar Ibrahim Diracun:
PRM  Tuntut Suruhanjaya Diraja Siasat

Timbalan Perdana Menteri(TPM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
dilaporkan telah mengarahkan penubuhan sebuah pasukan bagi menyiasat kes
Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun. PRM mengalu-alukan tindakan segera TPM
itu. Tetapi pasukan penyiasatan yang ditubuhkan atas arahan TPM itu
tidak memadai.

Rakyat mahukan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus. Rakyat mahukan
sebuah Suruhanjaya Diraja menjalankan siasatan yang bebas dan
terperinci. Pasukan siasatan yang TPM tubuhkan itu adalah pasukan
siasatan yang terdiri daripada para pegawai Kementerian Dalam Negeri.
Ini tidak memadai.

Rakyat masih ingat lagi apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dicederakan di
muka dan matanya semasa dalam tahanan Lokap Polis di Bukit Aman, satu
pasukan penyiasatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai polis telah
ditubuhkan. Tetapi pasukan penyiasatan polis itu gagal mengenalpasti
siapa penyerang yang mencederakan  Anwar Ibrahim. Kenapa tidak dapat
dikenalpasti? Kerana penyerang itu adalah bekas Ketua Polis Negara(KPN)
sendiri, Tan Sri Abd Rahim Noor.

Sehinggalah apabila penyiasatan kecederaan itu dilakukan oleh
Suruhanjaya Diraja barulah bekas KPN itu mengaku di dalam mahkamah
terbuka bahawa dia menyerang Anwar Ibrahim.

Jadi kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Kita mahukan Suruhanjaya
Diraja menyiasat dengan bebas, teliti dan berani. Kebenaran mesti
ditegakkan. Kita mahukan penyiasatan terbuka. Kita mahu Dr Mahathir
Mohamad, Perdana Menteri dan bekas Menteri Dalam Negeri dulu (ketika
Anwar Ibrahim ditahan pada 20 September 1998) serta Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, TPM dan Menteri Dalam Negeri sekarang dihadapkan ke muka
Suruhanjaya Diraja untuk disoal siasat. Hal ini  kerana pasukan polis
(PDRM )dan juga Jabatan Penjara adalah terletak di bawah bidang kuasa
mereka berdua, dulu ( Mahathir) dan sekarang (Abdullah).

Suruhanjaya Diraja ini mesti ditubuhkan segera. Kebenaran mesti
ditegakkan. Keluhuran undang-undang (rule of law) mesti diamalkan.
Keadilan bukan saja mesti dijalankan tetapi mesti jelas kelihatan
dilaksanakan.

11 September 1999