Dari robohan Kota Melaka kita bangunkan jiwa Merdeka -- Dr. Burhanuddin al-Helmi
Perjuangan untuk memerdekakan bangsa sebenarnya tidak berakhir pada 31 Ogos 1957. Malahan perjuangan itu adalah satu jihad yang beterusan. Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar memperingati suatu tarikh keramat, bukan semata-mata memperingati dan menghormati pengorbanan oleh pejuang-pejuang bangsa yang telah lalu.
Setiap generasi anak bangsa hendaklah merdeka dan dimerdekakan. Yang dimaksudkan ialah kemerdekaan yang hakiki. Bukan setakat jasad yang bebas tetapi jiwa hamba yang melutut di depan kezaliman dan penindasan; sujud di bawah telapak keangkuhan. Jiwa yang sebenarnya merdeka tidak dengan mudah dibuai dengan mimpi dan khayalan. Ia tidak tertipu dengan janji-janji palsu, seperti kata pepatah mulutnya disuap dengan pisang tetapi pantatnya dikait dengan onak. Ia bukanlah jiwa yang alpa, lalai terhadap kemungkaran yang dilakukan sekelilingnya, buta terhadap penipuan dan kerosakan yang didatangkan oleh makhluk-makhluk perosak yang memakai topeng penganjur dan pemimpin, yang menggadai masa depan bangsa dengan membolot harta rakyat untuk diri dan keluarga mereka sendiri, serta melakukan pembaziran sehingga menimbunkan beban hutang yang amat besar kepada generasi anak cucu yang akan datang.
Kemerdekaan yang sebenarnya ialah menegah kemungkaran seperti ini. Lalu menegakkan negara terpuji, baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur. Jiwa yang benar-benar merdeka tidak akan merelakan dirinya diperalat oleh segelintir manusia yang tamak dan gila kuasa. Ia akan insaf bahawa kesenangan dan keselamatan yang dijanjikan oleh golongan penjajah baru ini hanya sementara sifatnya. Kebenaran akan terserlah jua akhirnya. Apakah kita tidak mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku kepada negara-negara lain yang sebelum ini rakyatnya merengkok dibawah cengkaman pemerintahan kuku besi oleh anak bangsanya sendiri. Mereka menggantikan penjajahan bangsa asing dengan penjajahan oleh bangsa sendiri. Sekurang-kurangnya datuk nenek mereka kenal siapa yang menjajah mereka. Mereka tidak terpedaya, dan dalam hati mereka berkobar iltizam untuk memperkuat diri supaya penjajah terusir dan penjajahan dikalahkan.
Sebaliknya, apabila kemenangan ke atas penjajahan yang dicapai atas usaha dan pengorbanan rakyat jelata itu dikhianati, apabila yang diberi amanah untuk menjaga kepentingan rakyat umpama pagar yang makan padi, maka dimanakah kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu, oleh generasi Datuk Onn Jaafar dan Datuk Ahmad Boestamam.
Alhamdulillah rakyat semakin sedar akan hakikat ini. Undang-undang yang digunakan oleh penjajah dahulu untuk mengukuhkan kekuasaannya, seperti ISA dan OSA, masih termaktub Pemerintah yang berkuasa sekarang perlu berlindung di bawah undang-undang penjajah ini dari kemarahan dan kebencian rakyat. Undang-undang itu untuk melindungi kepentingan mereka.
Itulah yang disuarakan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Bapa Kemerdekaan kita, dalam sepucuk suratnya kepada sebuah akhbar tempatan pada 9 Februari 1989. Lapan tahun setelah Dr. Mahathir berkuasa, "keadilan tidak ada, semua mahkamah diperintah oleh seorang diktator. Akhbar-akhbar media massa semuanya bercakap bahasa dia dan ikut kehendak dia sahaja. Dalam pilihanraya apa yang paling buruk dan kotor sekali ialah semua dakyah kerajaan dikeluar dalam TV, radio dan akhbar-akhbar."
Seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn, juga pada ketika itu menentang kezaliman Mahathir apabila mengemukakan afidavit di mahkamah menentang penyalahgunaan ISA menahan Dr. Chandra Muzaffar. Amat sesuailah kalau kita hendak melihat kepada alaf baru, dengan penglihatan yang benar-benar berwawasan demi kepentingan bangsa dan negara, kita menilai semula undang-undang warisan zaman penjajah ini. Kita hendaklah menuntut kemerdekaan yang hakiki, bukan kemerdekaan mutlaq sehingga tidak terikat dengan bimbingan syariat dan akhlak, tetapi kemerdekaan mutlaq dari kezaliman manusia rakus yang memperalat institusi-institusi kenegaraan untuk melakukan perampokan harta dan pencabulan ke atas diri dan kehormatan rakyat yang daif.
Semangat kemerdekaan hakiki inilah yang harus ditiupkan ke segenap pelosok negara kita yang tercinta oleh setiap patriot. Itulah kecintaan kepada negara yang sebenarnya. Wa billahi taufiq wal hidayah.
ANWAR IBRAHIM
Sent by:
MOHD SHAHRULAZILAN SAID
Special Officer to the President
Parti Keadilan Nasional