Kenyataan Media
 

Hak Mengunjungi Anwar Ibrahim
 

Dukacita dimaklumkan bahawa saya tidak mendapat kebenaran daripada pihak
berkuasa untuk mengunjungi suami saya, Saudara Anwar Ibrahim di Hospital
Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras semenjak 15 September 1999 sehingga
hari ini (17 September 1999).  Pada lazimnya, isteri dan anggota keluarga
terdekat diberi peluang untuk mengunjungi orang yang dirawat di hospital
walaupun dia seorang banduan.  Apatah lagi dalam keadaan kesihatan suami
saya yang tidak menentu dan dalam keadaan di mana tersebarnya berbagai
khabar angin mengenai kedudukan kesihatan beliau.  Penafian peluang untuk
mengunjungi suami saya sesungguhnya telah meningkatkan lagi kegelisahan
saya serta keluarga.

Oleh itu, saya merayu kepada pihak-pihak berkenaan untuk membenarkan saya
dan keluarga mengunjungi suami saya di hospital dan tidak terus menafikan
hak saya berbuat demikian.  Hak mengunjungi suami saya di hospital harus
dianggap sebagai rutin dan tidak terikat kepada pertimbangan lain, termasuk
pertimbangan politik.

Adalah tidak adil sama sekali apabila seorang isteri terus dibiar dalam
keadaan yang tidak menentu; bilakah akan diberi peluang mengunjungi suami
di hospital.  Sikap ini jelas menimbulkan persoalan tentang perikemanusiaan
pihak berkuasa terhadap kami sekeluarga.

Lagi pun, sekiranya saya dibenarkan mengunjungi suami secara rutin,
sekurang-kurangnya saya mungkin dapat mententeramkan sebahagian besar
penyokong Saudara Anwar yang merasa bimbang tentang keadaan kesihatan
beliau.  Kebimbangan dan kerisauan mereka telah menimbulkan suatu keadaan
di mana mereka dengan mudah mempercayai segala sebaran khabar-khabar angin
dan berita palsu tentang kesihatan suami saya. Oleh kerana kurang maklumat
tepat tentang kedudukan sebenar Saudara Anwar, terutamanya daripada
keluarga terdekatnya, sebahagian daripada rakyat tidak dapat lagi mengawal
perasaan mereka dan bertambah marah terhadap pemerintah.  Keadaan ini harus
diredakan.
Menghormati hak saya dan keluarga saya mengunjungi seseorang yang sedang
uzur adalah suatu perkara yang dianggap paling mulia dalam perhubungan
antara manusia dengan manusia.
 
 
 

Dr. Wan Azizah bte Wan Ismail
Presiden
17 September 1999 Parti Keadilan Nasional (keADILan)